Sabtu,29 November 2014

Buruh projek MRT maut tersepit

PUCHONG: Seorang suri rumah tidak menyangka bunyi bising dan riuh-rendah di landasan projek MYRapid Transit (MRT) yang terletak bertentangan dengan dapur rumahnya sebenarnya operasi menyelamat seorang pekerja yang tersepit berhampiran PPR Taman Muhibbah, Jalan Puchong, tengah hari semalam.

Saksi kejadian dikenali sebagai Ida, 30, berkata, sebaik menjenguk dapur rumahnya, dia ternampak pasukan bomba dan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa juga buruh di situ.


“Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, saya berada di ruang tamu sambil menonton televisyen sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Saya sangkakan mereka sedang menjalankan kerja pembinaan sebelum terdengar bunyi orang menjerit dari tingkat bawah,” katanya yang ditemui di rumahnya di tingkat 11, sebuah blok di perumahan itu.


Katanya, dia ke belakang rumahnya untuk melihat keadaan di luar dan terperanjat melihat anggota bomba dan pekerja pembinaan sedang berkerumun.


“Saya sempat rakamkan kejadian itu menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Difahamkan, mangsa, Mohd Hanafi Abdullah, 23, berasal dari Kedah meninggal dunia akibat mengalami kecederaan dalaman selepas tersepit di landasan MRT bagi laluan Sri Petaling ke Shah Alam.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bukit Jalil dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan 12.08 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21
`