Isnin,24 November 2014

Bukan sedap mata memandang

Oleh Hartini Mohd Nawi

MENGHIAS kediaman tidak hanya berpandukan petua sedap mata memandang atau cita rasa semata-mata.

Bagi yang selesa mengilhamkan sendiri penataan ruang dan aspek, reka letaknya perlu mengambil kira beberapa elemen.

Antara elemen utama ialah perancangan, ketelitian, kepekaan dan kreativiti supaya idea penataan yang cuba diketengahkan itu sempurna.

Apatah lagi penataan ruang bukan sekadar terbatas pada bilik yang luas semata-mata, malah ia turut merangkumi sudut kecil hingga ruang bawah tangga.


Dari kediaman pangsapuri hingga banglo mewah, nilai penggayaan ruang terletak berdasarkan beberapa elemen utama.


Dari segi perancangan, ia membabitkan perkongsian idea antara anda dan penghuni lain.

Dapatkan kata sepakat itu, konsep paling digemari dan ambil kira aspek praktikal dan kesesuaiannya dalam kalangan penghuni.

Seterusnya, konsep pilihan itu perlu selari dengan bajet yang dikeluarkan bagi mengelak berlakunya pembaziran atau terlebih belanja.

Penataan mengikut bajet tidak semestinya dianggap pemilik kediaman itu terlalu berkira, sebaliknya ia memperincikan keperluan yang perlu diketengahkan.

Elemen ketelitian pula tidak kurang pentingnya apabila anda tidak sewenang-wenangnya menampilkan konsep dekorasi mengikut cita rasa sendiri.

Teliti dari pelbagai aspek sama ada penataan yang anda pilih itu bermanfaat dalam jangka panjang atau sebaliknya.

Bagi anda yang gemar menukar gaya penataan, elemen ketelitian juga antara yang perlu diambil kira dalam memperlihatkan idea tata hias sebenar.

Sementara elemen kepekaan atau keprihatinan membuatkan ruang kediaman anda menyerlah dan tampil lebih hebat.

Jika menyedari idea reka letak perabot dan aksesori hiasan tidak kena pada tempatnya, lakukan pengubahsuaian segera.

Kadangkala idea atau teguran penghuni lain wajar diberi perhatian bagi menzahirkan pengertian penataan unik itu bersifat subjektif.

Anda juga perlu peka dengan reka letak perabot dan aksesori hiasan yang praktikal serta tidak mengundang kecederaan.

Ini kerana, ada yang sanggup memilih kemasan menarik tetapi tidak selamat kerana berbucu tajam atau mudah pecah.

Semestinya warga tua dan kanak-kanak antara golongan yang perlu diberi perhatian ketika memilih perabot dan aksesori hiasan.

Paling penting, kehadirannya tidak mengganggu laluan pergerakan dan memberikan keselesaan sepanjang masa.

Seterusnya, elemen kreativiti amat penting dalam menterjemahkan idea penataan berbeza atau lain dari yang lain.

Perlu berhati-hati dengan daya kreativiti kerana tersilap langkah boleh menyebabkan ruang kediaman kelihatan serabut dan menyakitkan mata memandang.

Langkah paling selamat dengan mencuba gaya penataan ringkas terlebih dahulu kemudian mengambil kira pendapat penghuni lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/17
`