Khamis,18 Disember 2014

Buah hatiku

Pergilah ke mana saja, ia pasti menjadi kegilaan remaja walaupun jenis kapcai sekalipun. NOOR'JANNAH ABDULLAH SANI turut mengintai sebuah untuknya.

Bermacam jenis motosikal biasa kita lihat di jalan raya, daripada Vespa hingga berkuasa besar. Rata-rata mempunyai penggemar tersendiri. Tapi di sebalik penggemar motosikal, pasti ada cerita di sebaliknya. Mungkin kerana ia mudah dibawa dan tidak menyukarkan apabila menempuh laluan sesak, menjadikan ia kenderaan diminati golongan remaja.

Tidak hanya untuk ditunggangi, pemilik motosikal sanggup berhabisan untuk mencantikkannya. Kreativiti mereka menghiasi kepelbagaian corak seperti kartun, pemandangan, haiwan dan bermacam lagi. Kalau soal wang ia mungkin bukan masalah besar sebab majoriti peminat lebih pentingkan kepuasan, asal cantik dan 'cool'.

Hanya motosikal saja boleh menjadikan tidur mereka nyenyak sampai ke malam. Memang tak dinafikan apabila mereka lalu-lalang di jalan raya pasti ada mata yang memandang. Walaupun begitu jangan disangka mereka hanya bergerak solo, sebab kebanyakan mereka mempunyai geng tersendiri. Melalui minat yang unik mampu mengakrabkan hubungan sesama mereka.


Asal mampu

"Saya meminati motosikal berkuasa tinggi sebab memuaskan hati bila menunggangnya, contohnya dari segi kelajuan tak payah susah-susah nak ubah ekzos sebab kalau kita dari motor biasa, lepas itu nak ubah nanti bising baik beli terus kuasa besar senang cerita.

"Walaupun ia nampak seperti ganas tapi tak semua orang membawa motor kuasa besar mempunyai identiti ganas, bagi saya ia tak lari seperti sebuah motor idaman pada mereka yang meminatinya.

"Tak dinafikan memiliki moto kuasa besar kena mempunyai kemampuan, tak semua orang mampu memilikinya, sebab perlu menitik beratkan soal keselamatan dan menjaga maintainance. Untuk memiliki kenderaan berkenaan saya sanggup membuat pinjaman bagi merealisasikan impian memiliki sebuah motor kuasa besar.

"Bagi saya berbaloi, walaupun ada yang beranggapan dari beli motor besar baik pakai kereta, sebenarnya ia bergantung pada minat seseorang terhadap perkara diminati, sama juga macam orang yang sanggup berhabis duit untuk beli basikal berharga mahal. Sebab kita tak boleh lari dari minat, kalau kita mampu kenapa kita tak memilikinya," katanya.

Nama: Muhammad Fazli bin Haji Isa
Umur: 24 tahun
Lokasi: Melaka
E-mail: MFazliHjIsa_1397@gmail.com


Nampak hebat

"Saya memiliki dua buah motor kesayangan iaitu skuter dan RXZ, kedua-duanya memiliki kelebihan masing-masing. Kalau skuter mudah untuk saya bawa pergi kerja dan orang tua saya pun boleh tunggang sebab mudah.

"RXZ pula untuk saya konvoi atau kumpul sesama penunggang lain. Saya meminati RXZ walaupun keluarannya dihentikan, sebab ia nampak 'cool' apabila menunggangnya. Saya turut memasuki beberapa kumpulan seperti SRF Motorsport untuk skuter dan RXZ pula 'yamalaya rider'.

"Tujuannya untuk berkongsi minat kami bersama, bukan senang nak cari minat yang sama dengan orang lain. Jadi sedikit sebanyak ia membantu kita mencari teman.

"Mengenai wang, kalau skuter lebih RM1,000 juga saya habiskan untuk memasuki pertandingan autoshow. Bagi saya ia tak membazir sebab ia sebahagian daripada minat. Daripada saya habiskan melepak dan beli benda tak berfaedah, baik saya habiskan untuk memenuhi minat saya pada motor," katanya.

Nama: Mohamad Asyraf Azhari.
Umur: 26 Tahun
Lokasi: Johor
E-mail: aasyraf nouvo@yahoo.com


Vespa berhantu

"Saya minat Vespa sebab mewarisi daripada keluarga, pendek kata ia jenis motosikal turun temurun. Bagi saya, ia klasik sebab bentuknya tak sama dengan Vespa yang lain. Paling penting Vespa ini 'simple' tak terlalu poyo kalau dibawa meronda-ronda. Vespa saya dari Itali, jadi rupa dia agak lain sikit berbanding Vespa yang lain. Ia tak sarat dengan lakaran grafik, hanya kosong baru terserlah klasiknya Vespa ini.

"Ia berbaloi, sebab dengan menggunakan Vespa, kita juga boleh membawa untuk perjalanan jauh. Saya turut menggunakannya apabila makan angin jauh atau bersiar-siar. Tak semua orang minat dengan motor klasik sebegini, namun tak dinafikan Vespa turut mempunyai kumpulan dan penggemar tersendiri.

"Vespa bagaikan berhantu, sebab tak jemu untuk naik. Apabila naik sekali, rasa nak naik lagi, kalau tak percaya anda cubalah membeli Vespa. Pasti akan tertarik dengan keunikannya," katanya.

Nama: Kamarul Akmar Kaikhairroul
Umur: 25 Tahun
Lokasi: Perlis
E-mail: sanussi-maccenica@yahoo.com


Kepuasan 'superbike'

"Saya penggemar motor berkuasa besar, sebab ia laju, bergaya, memberi kepuasan, awek mudah terpikat, jimat masa dan yang penting tak perlu habiskan duit berjuta ringgit untuk beli kereta mewah, yang boleh pergi sejauh 320 kilometer sejam. Tapi 'superbike' bermodalkan RM100,000 pun boleh dapat kelajuan sama.

"Bagi saya ia berbaloi, sebab mencukupi kriteria yang saya inginkan. Apabila memiliki sebuah motor kuasa besar, perlu memasuki beberapa kumpulan sebab kalau tak ada kumpulan, tak akan pakai lama. Jadi saya sarankan kalau sesiapa yang ada 'superbike' masuklah kumpulan. Saya juga salah seorang ahli kumpulan NRC ZXRIANS, KCM BIKERS dan banyak lagi.

"Kalau soal duit banyaklah juga dilaburkan, seperti tukar minyak hitam, tayar depan belakang dalam RM1,000 ke atas tapi itu bukanlah satu penghalang saya untuk memiliki 'superbike' sebab pergi mana-mana pun duit memang sentiasa digunakan," katanya.

Nama: Zaim Nur Hakim Azhar
Umur: 25 tahun
Lokasi: Selangor
E-mail: zaim.nurhakim@gmail.com


PANDUAN PENJAGAAN MOTOSIKAL

1. Periksa bunga tayar anda sekali seminggu, pastikan tiada tanda-tanda yang akan menyebabkan tayar pancit, tambah tekanan angin mengikut kadar ditetapkan. Kebanyakan tayar pancit disebabkan oleh tekanan udara pada tayar rendah.

2. Periksa kedua-dua tayar sekiranya terdapat 'spoke' yang patah atau hilang pastikan juga rim tidak bengkok.

3. Periksa 'cable throttle' dengan memastikan pulasan anda itu tidak terasa berat, sekiranya berat sila letakkan sedikit bahan pelincir.

4. Pastikan tiada 'bolt' atau 'nut' yang hilang, segera digantikan pada bahagian untuk membantu pergerakan motor anda, seperti tayar bahagian enjin dan bahagian 'suspension'.

5. Pastikan 'brake pad' anda ditukar bila sudah sampai waktunya.

6. Semak tahap minyak enjin, gantikan bila sudah guna melepasi 2,000km, tapi seeloknya ditukarkan pada 1,000km.

7. Ganti 'spark plug' setahun sekali dan ganti 'spark plug wire' dua tahun sekali.

8. Setiap kali menghidupkan enjin perlu didengar, jika terdapat bunyi pelik-pelik perlu dibawa ke pusat servis bagi pemeriksaan selanjutnya.

9. Ganti penapis udara seeloknya setahun sekali.


Inovasi pertama

Untuk pengetahuan anda, Sylvester Howard Roper (1823-1896) telah mencipta 2 silinder enjin, iaitu stim motosikal yang dijanakan menggunakan arang batu pada tahun 1867. Ia adalah motosikal pertama. Selepas itu, Gottlieb Daimler dari Jerman mencipta motosikal enjin gas pada tahun 1885 di mana enjin dipasang pada basikal kayu.

Terciptalah tarikh bersejarah apabila dua enjin menggunakan gas dan basikal moden tercipta. Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach menggunakan enjin baru yang dicipta oleh jurutera Nicolaus Otto. Beliau mencipta empat strok enjin pembakaran dalaman pada tahun 1876 yang dipanggil Otto Enjin Kitaran.

Setelah penemuan itu berjaya, Daimler (bekas pekerja Otto) menggunakannya dalam pembinaan motosikal. Dari tahun 1880, berpuluh-puluh reka bentuk dan mesin muncul terutamanya di Perancis, Jerman dan England. Tidak lama kemudian merebak ke Amerika Syarikat.

Semasa tempoh awal sejarah motosikal, terdapat banyak pengeluar basikal menyesuaikan reka bentuk mereka untuk enjin pembakaran dalaman yang baru. Pada tahun 1894, Hildebrand & Wolfmüller menjadi motosikal pertama yang tersedia kepada orang awam untuk dijual.

Beberapa tahun kemudian, enjin menjadi lebih berkuasa dan reka bentuk berubah serta bilangan pengeluar berorientasikan motosikal meningkat. Pada tahun 1895, seorang pencipta dari Amerika Syarikat 'EJ Pennington' menunjukkan motosikal reka bentuk sendiri di Milwaukee. Pennington mendakwa mesin itu mampu bergerak dengan kelajuan 58 mph (93 km / j).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11
`