Isnin,22 Disember 2014

Bina keyakinan pelajar melalui ETA

Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

PERKATAAN ‘senyum sokmo’ (senyum selalu), ‘lek lu’ (rilek dulu) dan ‘bereh’ (beres) yang keluar daripada mulutnya menyebabkan suasana kelas yang pada mulanya sunyi, gamat seketika.

Dia bukan saja cantik, malah perwatakannya yang ceria membuatkannya disenangi pendidik dan pelajar sekolah berkenaan.

Walaupun tidak sampai sebulan menjejakkan kaki di Terengganu, gadis manis berusia 23 tahun itu bijak menyesuaikan diri, sekali gus memudahkan pelajar mendekatinya.

Hannah Carr antara 17 sukarelawan program English Teaching Assistant (ETA) dari Amerika Syarikat yang ditempatkan di seluruh negeri ini selama 10 bulan bermula awal Februari lalu.


Dia yang juga graduan Pengajian Alam Sekitar, Pitzer College dan berasal dari Oregon, ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu.


Hannah yang manis mengenakan baju kurung tidak menyangka tahap penguasaan bahasa Inggeris (BI) pelajar di sekolah ini lebih tinggi daripada yang dibayangkan.

“Sejujurnya, mereka mempunyai asas BI yang baik namun memerlukan pengukuhan supaya lebih berkeyakinan dan tidak malu mempraktikkannya dalam berkomunikasi.

“Walaupun pemalu pada peringkat awal, saya kagum dengan keberanian mereka menegur atau berbual dengan saya.

“Ada antara mereka menggunakan ‘broken English’ semata-mata mahu berbual dengan saya dan ia satu perkembangan positif.

“Saya tak kisah jika mereka menggunakan bahasa ‘broken English’ sekali pun.
Yang penting, mereka berani mencuba,” katanya yang mempunyai 10 helai baju kurung.

Menurut Hannah, dia perlu bijak mencari kaedah pengajaran yang sesuai bagi menarik minat dan menambah keyakinan pelajar.

“Sikap pemalu dan tidak yakin menyebabkan mereka kurang memberi maklum balas.
Keadaan itu menyebabkan saya mengadakan satu permainan bagi menaikkan ‘mood’ mereka.

“Ketika itu, saya menceritakan hal mengenai saya dan mereka boleh bertanya apa saja. Kaedah itu membuahkan hasil apabila mereka mula memberi maklum balas positif.

“Mengenai kehidupan di sini, saya selesa dengan budaya dan cara hidup di Terengganu, apatah lagi sikap masyarakatnya yang mudah mesra dan baik walaupun baru sebulan saya di sini.

“Jika ditanya mengenai makanan kegemaran, nasi lemak, terutama sambalnya, adalah kegemaran saya. Ia benar-benar menepati cita rasa saya,” katanya yang turut mempelajari bahasa Melayu (BM) dengan pelajar ketika berbual dengan mereka pada waktu rehat.

Seperti Hannah, graduan jurusan Matematik dan Fizik dari St Olaf College, Minnesota, Jonathan Christensen, 23, turut berkongsi pendapat sama apabila menyifatkan pelajar di Malaysia malu untuk bertutur dalam BI.

Namun Christensen yang ditempatkan di SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu memuji keinginan dan sikap pelajar yang suka bertanya walaupun ada sifat pemalu.

“Sikap mereka membuatkan saya bersemangat untuk membantu. Walaupun hanya ungkapan ‘good morning’ atau perbualan singkat, ia cukup menunjukkan mereka menerima kehadiran saya di sini.

“Bagi menggalakkan mereka, saya perlu bijak menggunakan kaedah pengajaran seperti permainan, aktiviti santai dan muzik yang memerlukan pembabitan mereka bagi merapatkan jurang antara kami.

“Ia penting untuk menggalakkan mereka bertutur dalam BI. Malah, saya juga berhasrat memperkenalkan sukan ‘ultimate frisbee’ di sekolah ini iaitu sejenis permainan yang seakan-akan permainan cakera.

“Masih ramai tidak tahu mengenainya, menyebabkan timbul idea menjadikannya sebagai kegiatan sukan di sekolah ini. Siapa tahu, cara ini mungkin membuatkan mereka semakin rapat dengan saya,” katanya yang menunggang motosikal ke sekolah.

Ketika ditanya mengenai aktiviti pada hari cuti, Christensen berkata, dia menggunakan waktu cutinya dengan bersiar-siar di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

“Ia satu cara untuk saya lebih mengenali dan memahami budaya serta adat masyarakat di sini. Berada di negeri ini adalah pengalaman berharga buat saya memandangkan saya meminati kepelbagaian budaya dan adat di sesebuah negara.

“Saya turut mengambil kesempatan melawat tiga lagi rakan ETA, termasuk Hannah, sambil bertukar dan berkongsi pengalaman mengenai sekolah masing-masing,” katanya yang pernah menjadi tutor ketika menuntut di kolejnya.

Seperti dua rakannya dari Amerika itu, Nazeeha Jawahir, 23, yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir, Kuala Terengganu berharap kehadirannya dapat membantu pelajar menguasai BI dengan baik.

Berasal dari Kentucky dan berkelulusan dalam bidang Biologi dan Kimia dari University of Kentucky, dia mengakui perlu bijak untuk menarik perhatian pelajarnya memandangkan dia ditempatkan di sekolah rendah.

“Mereka agak pemalu tetapi segala-galanya berubah apabila saya memasang muzik sebelum kami bersama-sama menyanyi dan menari.

“Kaedah itu sememangnya mudah tetapi mampu menarik mereka untuk terus memberi tumpuan kepada saya sepanjang kelas,” katanya.

Nazeeha turut tersentuh dengan sikap manja pelajar di sekolahnya.

“Walaupun baru mengenali saya, ada antara mereka tidak teragak-agak duduk di riba saya di dalam kelas.

“Keadaan itu membuatkan saya berasa dekat dengan pelajar walaupun mereka mungkin tidak faham apa yang saya cuba sampaikan,” katanya yang kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia.

Sementara itu, Pengetua SMK Kompleks Gong Badak, Abdullah Mamat berkata, kehadiran sukarelawan ETA dapat membantu pembangunan BI di kalangan pelajar, seiring dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan BM dan memperkukuh penguasaan BI.

Menurutnya, walaupun ini kali pertama sekolahnya menerima sukarelawan ETA, kehadiran Hannah dilihat bukan saja meningkatkan keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dalam BI tetapi turut mendapat reaksi positif di kalangan guru.

“Lebih membanggakan apabila pelajar sentiasa ternanti-nanti kehadiran Hannah di kelas mereka walaupun baru sebulan dia bertugas di sekolah ini.

“Saya berharap kehadirannya dapat menghilangkan fobia pelajar yang selama ini tidak yakin untuk bertutur dalam BI.

“Tidak ada alasan untuk pelajar tidak boleh bertutur dalam BI sedangkan mereka didedahkan sejak peringkat sekolah rendah lagi.

“Jika guru ETA yang baru sebulan di Malaysia boleh bertutur sedikit dalam BM walaupun tidak pernah didedahkan dengan bahasa kita, mengapa kita tidak boleh jadi seperti mereka,” katanya yang mahu pelajar mencontohi semangat sukarelawan itu yang berusaha mempelajari BM.

Bagi pelajar tingkatan tiga SMK Kompleks Gong Badak, Aisyah Amira Izzati Zunaidi, 15, dia selesa dan tidak kekok berbual dengan gurunya walaupun baru mengenalinya.

“Saya rasa lebih yakin apabila berbual dengannya. Keadaan itu menyebabkan saya berjumpa dengannya setiap hari pada waktu rehat semata-mata mahu berbual dengannya.

“Jika dengan guru sebenar, keadaan lebih formal dan ia mungkin membataskan saya untuk bertutur dalam BI,” katanya yang turut mengajar gurunya BM setiap kali mereka berjumpa.

Pelajar SMK Tengku Bariah, Muhammad Razein Danish Razman Dzarif, 14, turut melahirkan rasa teruja dengan kehadiran sukarelawan ETA.

“Saya suka caranya yang membuatkan kami berminat untuk turut serta dalam aktiviti yang diadakan dalam kelas. Ia menghilangkan rasa bosan selain memberikan keyakinan kepada saya untuk berbual dalam BI.

“Mungkin sebab guru tidak memahami BM menyebabkan saya perlu berani berbual dalam BI jika mahukan dia sedar akan kewujudan saya,” katanya.

ETA adalah program jaringan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan Amerika.

Ia bertujuan meningkatkan penguasaan dan pemahaman BI, terutama di kalangan pelajar sekolah menengah dan rendah di luar bandar, yang mana ia adalah hasil inisiatif bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Seramai 50 sukarelawan ETA dari Amerika ditempatkan di tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Johor, dengan 17 daripada mereka ditempatkan di Terengganu selama 10 bulan bermula Februari lalu.

Di Terengganu, mereka ditempatkan di setiap daerah iaitu empat di Kuala Terengganu, masing-masing tiga di Besut dan Dungun, masing-masing dua di Marang, Kemaman dan Setiu, manakala seorang lagi di Hulu Terengganu.

Sekolah yang terbabit dalam program berkenaan di negeri ini ialah SK Seberang Takir, SMK Kompleks Gong Badak, SMK Kompleks Seberang Takir dan SMK Tengku Bariah di Kuala Terengganu, manakala tiga sekolah di Besut adalah SMK Seri Nering, SMK Nasiruddin Shah dan SMK Permaisuri Nur Zahirah.

Di Dungun, tiga sekolah terbabit adalah SMK Seri Dungun, SMK Sultan Omar dan SMK Sura, manakala dua sekolah di Marang adalah SK Kedai Buloh dan SMK Seri Payong, selain SK Kampung Tengah dan SMK Geliga di Kemaman.

Bagi daerah Setiu, sekolah terbabit ialah SMK Putera Jaya dan SMK Tengku Ibrahim, manakala di Hulu Terengganu adalah SMK Ajil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/04
`