Isnin,22 Disember 2014

Bibit jenayah rogol

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN

KUALA LUMPUR: Kegilaan remaja terhadap permainan berunsur seks yang mudah dimuat turun ke telefon bimbit boleh menyebabkan mereka terjerumus ke kancah jenayah serius seperti rogol.

Pakar Kriminologi dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, permainan seperti itu hanya bertujuan merangsang nafsu tetapi kesan jangka panjangnya sungguh berbahaya.


“Ketagihan terhadap permainan seperti itu memberi kesan buruk kepada pemainnya, malah boleh menyebabkan berlaku kes rogol, cabul atau sumbang mahram kerana pemikiran dipengaruhi nafsu atau syahwat sukar dikawal,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam, mengenai kegilaan remaja memuat turun permainan yang diadaptasi daripada rancangan realiti seks ke telefon bimbit.

Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa memainkan peranan penting, terutama memeriksa laman web dilayari anak mereka.


“Permainan sebegini mudah dimuat turun, jadi ibu bapa perlu sentiasa peka terhadap laman web yang menjadi kegemaran anak mereka.


“Selain itu, bagi mengelak anak melawat laman web lucah, mereka boleh menggunakan perisian yang boleh menyekat anak daripada menontonnya,” katanya.

Sementara itu, mengenai insiden godam yang berlaku terhadap beberapa laman web di negara ini, Akhbar berkata, tahap sistem pertahanan sesebuah laman web boleh menjadi pencetus meningkatkan keghairahan golongan penggodam untuk melakukan pencerobohan.


“Kewujudan ego di kalangan penggodam menyebabkan mereka mahu menguji tahap kepakaran, terutama apabila berdepan sistem pertahanan laman web yang tinggi.

“Kebiasaannya kaedah ‘pintu belakang’ digunakan untuk memecah masuk ke sesebuah laman web. Mereka ini pakar dalam sistem komputer, jadi apabila berdepan sistem pertahanan kukuh, mereka akan bertambah ghairah mahu menguji kehebatan masing-masing,” katanya.


Akhbar berkata, berdasarkan kajian, 24 peratus pencerobohan itu berlaku bertujuan mahu merosakkan sesebuah laman web, mencuri maklumat (19 peratus), memasukkan virus (16 peratus), kewangan (13 peratus), menyesakkan web (lapan peratus), curi identiti (lima peratus) dan lain-lain (15 peratus).


“Australia dan Korea Selatan sudah membangunkan strategi pertahanan siber mereka bagi melindungi daripada serangan penggodam, jadi saya melihat kita juga perlu ada satu rancangan jangka panjang kerana kegiatan jenayah siber boleh melumpuhkan negara,” katanya.


Akhbar sebelum ini melaporkan, sebanyak 61 laman web dengan domain gov.my diserang sejak 11.30 malam Rabu lalu, menyebabkan 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/18
`