Jumaat,19 Disember 2014

Berat ucap terima kasih

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

DALAM kita begitu asyik dan sibuk mengejar kedudukan dan kemewahan, masyarakat kita semakin hari semakin jauh daripada beberapa nilai murni seperti rasa kasih sayang, hormat-menghormati, menghargai jasa dan sumbangan orang lain serta ucapan terima kasih kepada yang menghulurkan bantuan.

Sedar atau tidak sekarang kita lebih banyak menerima daripada memberi. Kita sering dibantu dalam pelbagai cara dan bentuk oleh orang lain di sekeliling kita. Ada menghulurkan wang ringgit, memberi sumbangan idea dan pandangan mahupun pendapat yang sangat berguna serta ramai juga membantu dengan melaksanakan sesuatu tugas.


Walaupun kita sering dibantu, namun amat jarang sekali kita mendengar ungkapan terima kasih keluar daripada mulut orang menerima bantuan tersebut. Masyarakat kita semakin ego dan sombong walaupun untuk sekadar mengukir sekuntum senyuman ikhlas dari hati.

Masih ramai di kalangan kita yang buat-buat tidak tahu akan bantuan diterima, apatah lagi menghulurkan bantuan kepada orang lain. Hakikatnya kita mahu dibantu tetapi sebaliknya kita begitu liat untuk membantu orang lain mahupun menghargai pertolongan orang lain dengan sewajarnya.


Setiap hari baik di rumah, pejabat mahupun tempat awam kita sering dibantu mahupun meminta bantuan orang lain sama ada untuk kepentingan kita ataupun untuk membantu melaksanakan sesuatu tugasan. Tetapi berapa ramai membalasnya dengan ungkapan terima kasih? Di rumah misalnya, berapa ramai suami menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada isteri yang melakukan semua tugasan di rumah, termasuk menjaga anak, mencuci pakaian serta menyediakan makan minum kita? Bukankah hidup kita akan terumbang-ambing andai si isteri tidak membantu membuat kerja-kerja terbabit? Begitu juga situasi di pejabat. Setiap hari kita mengharapkan pelbagai bantuan dan tunjuk ajar daripada rakan sekerja mahupun bos kita sendiri dalam membantu menyiapkan sesuatu tugasan dengan baik, cepat dan tepat. Namun, berapa ramai menghargai bantuan dihulurkan itu? Bagaimana pula dengan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita selama ini? Kalau betul kita menghargai jasa dan sumbangan mereka kenapa penghuni rumah kebajikan dan warga tua semakin bertambah di samping gelandangan di seluruh negara yang juga majoritinya terdiri daripada warga emas semakin meningkat dan menyayat hati. Di mana anak mereka? Itu belum lagi diambil kira segala jasa dan sumbangan guru yang mendidik kita mengenal huruf hingga mampu menjadi seorang manusia berjaya dan berguna pada hari ini? Kalau betul budaya terima kasih tersemat di sanubari anak kita kenapa pelbagai insiden membabitkan keselamatan diri dan harta benda guru seperti merosakkan kenderaan mahupun mengugut guru terus berlaku? Bukankah insan mulia bernama guru ini wajar diberi penghormatan yang tinggi dan diletak di tempat sepatutnya? Dalam konteks lebih luas pula misalnya pihak kerajaan mutakhir ini menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk membantu meringankan beban dan kos sara hidup serta untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Antaranya ialah penubuhan klinik 1Malaysia, kedai rakyat 1Malaysia, menu rakyat 1Malaysia, perumahan rakyat 1Malaysia serta yang terkini teksi rakyat 1Malaysia.


Terbaru menubuhkan kedai kain 1Malaysia dan juga kedai buku 1Malaysia.

Ringkasnya semua inisiatif kerajaan ini adalah untuk membantu rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah. Agak kesal kerana ada suara-suara sumbang melemparkan pelbagai fitnah kononnya segala bantuan ini adalah untuk memancing undi dalam pilihan raya akan datang.


Sikap tidak bertanggungjawab ini jelas menunjukkan mereka tidak mampu untuk membezakan antara kaca dan permata serta tidak tahu untuk menghargai bantuan orang lain.

Ini adalah antara beberapa senario boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan kita. Kita sebenarnya banyak terhutang budi kepada orang lain daripada pelbagai aspek. Misalnya pernahkah kita berterima kasih kepada nenek moyang kita yang memberi peluang kepada kita untuk menikmati kemerdekaan pada hari ini.


Tahun ini negara kita sudahpun menjangkau usia kemerdekaan 55 tahun di mana pada usia ini kita sepatutnya lebih matang dan tidak lagi membicarakan soal perpaduan kaum, hak-hak keistimewaan sesuatu kaum, kontrak sosial dan sebagainya.


Jelas semua isu ini berputik angkara kedegilan segelintir pihak untuk bersyukur dengan apa yang ada dan diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu.


Justeru, sebelum terlambat, marilah kita lupakan sejenak perbalahan sesama kita dan mencari persamaan dalam perbezaan sedia ada seterusnya saling hormat-menghormati dan menghargai jasa orang lain demi mewujudkan sebuah masyarakat progresif dan maju ke hadapan.


Penulis Ketua Bahagian Perancangan Korporat UPM berkelulusan Sarjana Komunikasi Korporat

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18
`