Jumaat,19 Disember 2014

Bela patung ‘hidup’

SEORANG wanita dengan 500 anak patung plastik yang menyerupai bayi sebenar, menjaganya seolah-olah mereka benar-benar hidup; menyalin pakaian mereka, membasuh rambut dan membawa bersiar-siar di taman.

Sambil menunjukkan anak patung yang berlumuran darah di apartmennya di Staten Island, Marilyn Mansfield, 33, berkata, dia paling gembira dengan koleksi Krypt Kiddies dan Living Dead Dolls.


Wanita yang sudah bersuami dan ibu kepada tiga anak itu tidak pernah meninggalkan rumah tanpa membawa satu daripada anak patungnya yang menjadi barangan paling dicari oleh pengumpul.

Setiap satu anak patungnya berharga sehingga AS$2,500 (RM7,500). Jumlah keseluruhan koleksinya mencecah ratusan ribu dolar.


Menurut Marilyn, dia mula jatuh hati kepada anak patung seram selepas menonton filem Hollywood yang diterbitkan pada 1980-an, Chucky.


“Sudah lama saya sukakan anak patung Chucky. Memiliki anak patung berwajah menakutkan di dalam buaian hitam sentiasa menjadi impian saya,” katanya.

Marilyn yang begitu taksub terhadap anak patungnya kini menjadikan hobinya satu perniagaan. Dia kini menghasilkan anak patung berwajah menakutkan dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga mencecah AS$300 (RM900).


Pengumpul anak patung itu juga taksub dengan anak patung seakan-akan bayi betul yang digelar ‘lahir semula’.

Dia juga menghasilkan ‘bayi potret’ yang direka untuk kelihatan sama seperti anak pelanggannya.


“Bagi saya, lebih banyak kerja perlu dilakukan untuk menghasilkan anak patung yang kelihatan seperti bayi sebenar berbanding membuat anak patung yang berwajah menakutkan.


“Pendek kata, saya berdepan lebih banyak cabaran untuk menjadikan mereka benar-benar kelihatan seperti manusia,” kata Marilyn.


Menurutnya, dia menerima pelbagai reaksi setiap kali membawa anak patungnya ke tempat awam. Ada yang terkejut, lebih-lebih lagi yang datang untuk mengagah ‘bayinya’.


“Saya membawa mereka keluar bersama-sama keluarga saya, meletakkannya di tempat duduk dalam kereta dan kadangkala di dalam kereta tolak.


“Saya tidak berniat mencari perhatian. Ia hanya membuatkan saya berpuas hati. Dan jika ada orang menyangka anak patung itu bayi sebenar atau menyoal saya, saya akan memberitahu mereka bahawa ia hanya anak patung.


“Seorang wanita yang melihat satu daripada anak patung saya baru-baru ini berkata: ‘Bayi anda kelihatan pucat. Dia sakit ke?’ Dia menyentuhnya dan menjerit apabila mengetahui ia anak patung,” katanya.


Marilyn yang pernah muncul dalam rancangan ‘Koleksi Taksub Saya’ terbitan TLC berkata, anaknya tidak pernah cemburukan anak patungnya.


Anak lelakinya berusia tujuh tahun mempunyai koleksi anak patungnya sendiri manakala anak perempuannya berusia 12 tahun membantu Marilyn menyalin dan memandikan anak patung.


Menurut Marilyn, suaminya tidak berminat terhadap anak patung tetapi tidak kisah dengan ‘keluarga’ mereka yang semakin membesar.


“Saya dapat merasakan ketenangan dengan memegang anak patung. Pengalamannya sungguh menarik,” katanya.


“Apabila anak anda masih bayi, ia masa yang istimewa. Dengan memiliki anak patung ‘lahir semula’, perasaannya ialah seperti mempunyai masa istimewa sepanjang masa.”

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/22
`