Jumaat,28 November 2014

Bawa 119 wakil cuti ke Bangkok, Pattaya

BAGI menghargai usaha dan kerja keras ahli yang berjaya mencapai sasaran jualan tahunan ditetapkan, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd (Avon), menerbangkan 119 wakil pengedarnya ke bandar Bangkok dan Pattaya, Thailand, untuk menikmati Insentif Percutian Persada Dunia 2 Avon selama empat hari.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok Suvarnabhumi, rombongan yang membabitkan empat kumpulan itu singgah di Pasar Minggu Chatujak dan diberikan masa untuk membeli-belah sebelum mendaftar masuk ke hotel penginapan, Indra Regent Pratunam.

Pasar Minggu Chatujak ialah pasar yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, haiwan peliharaan, perkakas rumah, cenderahati, beg dan beraneka jenis makanan.

Keluasan pasar ini yang sangat besar amat mencabar kekuatan fizikal ahli rombongan. Walaupun dengan cuaca yang panas dan kering ketika itu, semangat ahli rombongan untuk membeli-belah terus berkobar kerana harga yang ditawarkan cukup murah.


Hari kedua di sana, rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia, dibawa pula ke Pattaya bagi merasai sendiri pengalaman menaiki gajah di Sekolah Latihan Gajah Pattaya sebelum ke Pasar Terapung.


Tidak cukup dengan itu, rombongan dibawa pula ke Galeri Permata dan Sutera terbesar di dunia yang menyaksikan pelbagai jenis batu permata dihasilkan sebelum dieksport ke luar negara.

Paling menarik, rombongan turut berpeluang menyaksikan persembahan tradisional masyarakat tempatan yang bertajuk Siam Niramit. Persembahan selama satu jam ini cukup menakjubkan kerana ia sama seperti kita menonton teater dengan sokongan peralatan teknikal belakang tabir yang canggih.

Ia menceritakan mengenai kedatangan pelbagai jenis budaya dan agama di beberapa wilayah Thailand yang dulunya dikenali sebagai Siam.

Perjalanan ahli rombongan seterusnya diteruskan pula ke Istana Besar dan Kuil Buddha Jed sebelum sekali lagi diberikan pelepasan membeli-belah sepuas hati di pusat beli-belah MBK dan Tokyu.

Walaupun penat terutama selepas ke sana sini mengangkut beg beli-belah yang sarat, kegembiraan dan rasa puas tergambar di wajah masing-masing kerana mampu mendapatkan pelbagai barangan pada harga berpatutan.

Pada malam terakhir di bandar itu, wakil pengedar terdiri daripada pelbagai peringkat umur diraikan secara meriah pada majlis makan malam di Restoran Sofia. Ia turut dihadiri Pengarah Urusan Avon Malaysia, Carolyn Nur Amira Lee; Ketua Jualan Avon Malaysia, Roslaila Puspa Deraman dan Pengurus Bahaian Pembangunan Peniaga dan Insentif Avon Malaysia, Mazni Abdullah.

Carolyn berkata, percutian itu adalah sebahagian daripada penghargaan Avon kepada wakil pengedarnya yang mencapai status Golden Circle selepas berjaya mencatat jualan sasaran ditetapkan syarikat dan melayakkan mereka mengikuti rombongan percutian ke luar negara.

Insentif percutian tahunan yang diperkenalkan Avon sejak sekian lama itu sudah membawa wakil syarikat terbabit yang berjaya mencapai sasaran melancong ke serata dunia.

“Kumpulan yang dibawa ke Bangkok dan Pattaya ini adalah kedua terbaik daripada segi jualan di Malaysia manakala kumpulan pertama terbaik akan dibawa bercuti ke destinasi lebih jauh iaitu New York, Amerika Syarikat.

“Wakil pengedar adalah inspirasi kami. Justeru, komitmen yang diberikan oleh mereka pada sepanjang tahun dibalas dengan program dan percutian seperti ini.
Selain dapat berseronok melihat negara orang, kita juga dapat merapatkan silaturahim sesama wakil pengedar.

“Percutian ini juga berperanan sebagai motivasi kepada wakil pengedar kami supaya mereka lebih bersemangat dan dapat mencapai sasaran jualan lebih tinggi pada masa depan,” katanya.

Tambah Carolyn, Avon terbuka kepada semua golongan yang berminat untuk menyertainya dan ia turut mendapat sambutan golongan muda yang dilihat begitu komited mencapai sasaran jualan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/21
`