Jumaat,19 Disember 2014

Barisan Exco ikut keputusan Kabinet

Melaka: Perlantikan Exco baru bagi negeri Melaka hanya akan dilakukan selepas menerima keputusan yang dibuat di peringkat Kabinet.

Ketua Menteri Datuk Wira Idris Haron berkata, pihaknya sudah meneliti semua portfolio diguna pakai kerajaan negeri sewaktu berada di bawah kepemimpinan mantan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.


“Kesemua portfolio digunakan sebelum ini di peringkat Kabinet ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih tugasnya.

“Saya mahu menggunakan kaedah sama iaitu menanti pelantikan menteri kabinet dan portfolio baru supaya perlantikan Exco itu nanti mempunyai kesinambungan daripada peringkat Kabinet, kerajaan negeri, Exco dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas melepaskan konvoi vespa ke Makkah di kediamannya di Kampung Klebang Kechil, dekat sini, semalam.


Menurutnya, pihaknya perlu meneliti setiap pelantikan dibuat bagi memastikan pengurusan berjalan dengan cekap dan berkesan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, beliau akan menemui Perdana Menteri bagi merakamkan terima kasih atas kepercayaan diletakkan kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09
`