Ahad,23 November 2014

Bantuan percuma beri kehidupan baru

Kuala Lumpur: Bantuan pemberian percuma alat sokongan ‘prosthesis’ luaran payudara dan coli khas kepada pesakit kanser payudara mampu memberi kehidupan baru kepada golongan wanita tidak berkemampuan selain memberi keyakinan tinggi dan harapan kepada mereka untuk menjalani kehidupan normal.

Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor, Zamanila Tukimin berkata, harga bagi alat sokongan ‘prosthesis’ luaran payudara yang dijual sekitar RM1,200 ketika ini adalah jumlah yang tinggi dan membebankan bagi golongan wanita berpendapatan rendah sedangkan ia penting untuk mereka.

Katanya, pengumuman bantuan itu dalam Bajet 2014 di Dewan Rakyat, semalam, menjadi bukti kepada keprihatinan kerajaan terhadap golongan wanita, terutama mereka yang tidak berkemampuan untuk terus menjalani kehidupan lebih baik.

“Inisiatif ini sememangnya baik apatah lagi untuk pesakit kanser payudara yang tidak ada pendapatan tetap atau tempat bergantung. Ini adalah satu bentuk sokongan yang sememangnya diperlukan pesakit yang baru menjalani pembedahan pembuangan payudara,” katanya, semalam.


Melalui pembentangan diumumkan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bantuan berkenaan bakal meringankan kos membeli alatan itu yang dianggarkan sekitar RM1,200 dan ia akan memanfaatkan lebih 8,000 pesakit kanser payudara dengan peruntukan berjumlah RM9 juta.


Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan majikan mewujudkan persekitaran kerja lebih fleksibel bagi memastikan pekerja wanita dapat mengimbangi kerjaya dan komitmen keluarga dengan memberi potongan cukai tambahan kepada majikan yang melaksanakannya.

Presiden Persatuan Tindakan Wanita Ho Yock Lin berkata, satu program memupuk kesedaran dalam kalangan majikan mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran kerja lebih fleksibel perlu dijalankan dengan segera demi memastikan hasrat kerajaan memberi kelonggaran waktu dan tempat kerja untuk golongan wanita dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, majikan memerlukan penerangan secara teliti mengenai insentif atau skim tambahan yang bakal diterima mereka sekiranya menyediakan masa bekerja lebih fleksibel kepada pekerja wanita.

“Ini kerana majikan mementingkan produktiviti dan jika mereka tidak tahu perkara ini atau berasakan insentif berkenaan tidak cukup baik buat mereka, mereka tidak akan melaksanakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/26

Artikel Lain