Khamis,23 Oktober 2014

Bantuan RM35 sehari

Cyberjaya: Individu berpendapatan bawah RM3,000 di kawasan bandar layak mendapat bantuan RM35 sehari menerusi program Baucar Kerja yang diselia Kementerian Sumber Manusia.

Dilancarkan pada peringkat perintis pada April ini, ia menyaksikan pembabitan 100 peserta yang tergolong di bawah tahap miskin bandar.


Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JobsMalaysia), Yusuff Harun berkata, bantuan tambahan itu dijangka dapat membantu golongan terbabit dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Namun, bantuan berkenaan tidak diberikan sewenang-wenangnya. Mereka harus mendapatkan pekerjaan sambilan bagi melayakkan mereka mendapat bantuan itu,” katanya.


“Golongan itu hendaklah mencari kerja sambilan terlebih dulu dan kami menyumbang RM35 sehari.


“Jumlah itu boleh dituntut setiap hari ataupun pada setiap hujung bulan bergantung kepada keperluan individu berkenaan,” katanya.

Program Baucar Kerja menyasarkan golongan bekerja di kawasan bandar yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan individu yang tidak bekerja.


Ia juga menyasarkan golongan terpinggir seperti bekas banduan, bekas penagih dadah, warga emas, golongan kelainan upaya, Orang Asli dan pelajar keciciran.

JobsMalaysia memastikan pemilihan peserta dilakukan secara teliti berdasarkan kaedah pemilihan profil dan dirujuk daripada pangkalan e-kasih.


e-kasih adalah pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.


Menurut Yusuff, individu yang layak dihubungi secara terus. Berdasarkan pangkalan data e-kasih terkini, golongan dalam kumpulan miskin dan miskin tegar kini mencecah 500,000 orang.


Menurut Yusuff, bagi individu yang terikat dengan kontrak pengambilan pekerja yang tidak membenarkan mereka melakukan dua kerja pada masa yang sama, JobsMalaysia bertindak sebagai orang tengah untuk berunding dengan majikan bagi membenarkan pekerja untuk melakukan kerja sambilan.


“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada akta pekerjaan dan buruh berkaitan,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/03
`