Sabtu,25 Oktober 2014

Bangsawan Chelorong Cheloreng gamat

Oleh Norhadiani Baharom

NASKHAH teater yang baik kalau bijak diolah oleh pengarahnya pasti akan menjanjikan keseronokan menonton.

Begitulah, pementasan teater bangsawan Chelorong Cheloreng yang berlangsung di Panggung Bandaraya Jalan Raja, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula pada 23 -25 Mac lalu.

Dipentaskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Chelorong Cheloreng dipilih sebagai pembuka program Siri Semarak Bangsawan dan Bazaar Industri Seni Budaya.

Ditangani pengarah teater Zaifri Husin, kisah bangsawan yang pernah difilemkan dan ditayangkan pada 1962 dengan menampilkan Wahid Satay sebagai pelakon utama serta Allahyarham Datuk S Roomai Noor selaku sutradara, tidak pula bersandarkan wajah komersial untuk memancing penonton.


Kehebatannya, bersandarkan pada susunan jalan cerita, dialog dan plot menarik disokong kreativiti sebagai bahan menggeletek penonton.


Sekalung tahniah diberikan kepada JKKN. Meskipun mereka bukan pelakon profesional namun lakonan mereka wajar diberikan pujian.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, akui terhibur dan berharap penonton terus memberi sokongan kerana pelbagai lagi kisah klasik bakal menemui peminat bangsawan.

“Pertamanya saya ingin mengucap tahniah kepada Zaifri selaku pengarah dan kakitangan JKKN kerana berjaya membuat persembahan yang baik malam ini. Walaupun mereka bukanlah warga popular, ditambah pula masa latihan yang singkat gara-gara masing-masing sibuk dengan urusan pejabat, mereka tetap berjaya menguruskan pementasan ini dengan baik.

“Tokoh Bangsawan Negeri Kedah, Morad Ibrahim, juga memuji pementasan ini dan memaklumkan kepada saya selepas 20 tahun tidak lagi menonton Chelorong Cheloreng apa yang dipersembahkan JKKN berjaya mencipta pementasan bangsawan versi moden sesuai untuk tontonan generasi masa kini,” katanya.

Chelorong Cheloreng adalah kisah bangsawan yang pernah difilemkan oleh karyawan pada era 1960-an di Singapura.

Ia mengisahkan Tengku Mahkota Derma Kesuma yang enggan berkahwin dengan Puteri Indah dari negara musuh ayahandanya, keluar membawa diri dari istana. Sewaktu dalam pelarian, Derma terpikat dengan Harum Cendana lalu mengahwininya. Suatu hari, Harum Cendana pula dilarikan orang.

Derma bersama-sama sahabatnya, Chelorong dan Cheloreng cuba mencarinya. Dari situ, bermulalah pengembaraan Chelorong-Cheloreng untuk menunaikan hasrat Tengku Mahkota Derma Kesuma dalam mencari isterinya Harum Chendana. Pengembaraan ini melalui pelbagai kisah lucu dan konflik yang melanda pencarian mereka.

Mengangkat komedi sebagai genre, pementasan Chelorong Cheloreng tidak mengenepikan unsur-unsur nasihat dan mesej sebagaimana terdapat dalam kisah asalnya.

Program Siri Semarak Bangsawan 2012 itu adalah program JKKN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2007 lagi.

Datuk Norliza berkata lagi, Siri Semarak Bangsawan 2012 merangkumi sembilan pementasan. Persembahan bangsawan akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan oleh kumpulan-kumpulan bangsawan yang terpilih di seluruh negara.

Sementara itu, setiap kumpulan yang dipilih perlu menyediakan pameran khas seperti sejarah bangsawan di Malaysia, tokoh-tokoh bangsawan negara, busana teater bangsawan dan pengenalan kepada kumpulan yang membuat persembahan.

Sembilan buah kumpulan berkenaan adalah Angkatan Seni Teater Anak Kampar (bangsawan Paduka Menteri) pada 13 - 15 April, Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Bangsawan Raja Badang) pada 11 - 13 Mei, Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam (Bangsawan Genta Alam) pada 8 - 10 Jun serta Persatuan Penggerak Seni Budaya Kuala Lumpur (Cinta Puteri Mekar Mewangi Layu Tak Berseri) pada 13 - 15 Julai.

Tidak ketinggalan Kumpulan Bangsawan Seri Kedah (Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa) pada 21 - 23 September, Kelab Teater Seri Teja Kuala Lumpur (Bangsawan Sumpah Lantara Bijaya) pada 12 - 14 Oktober, Majlis Kebudayaan Selangor (Bangsawan Ahmad Albab) pada 16 - 18 November serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (masih rahsia) pada 14-16 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/01
`