Selasa,21 Oktober 2014

Baim enggan lupa diri

MUNGKIN ramai yang tidak tahu, pelakon sinetron dari seberang, Baim Wong pernah mengalami kejutan budaya kerana hanyut dalam dunia glamor sebelum ini.

Kata Baim, dia mula lupa diri selepas drama lakonannya dalam Sinetron Benci Bilang Cinta mendapat sambutan hangat di Indonesia pada 2005.


"Mujur saya cepat disedarkan kawan-kawan dari terus hanyut ketika itu. Sebenarnya, saya mula berlakon dari 2001 hingga 2003. Pada 2003, saya putuskan untuk berhenti berlakon selama dua tahun kerana ingin mencari ilmu dalam bidang lakonan. "Bagi menambahkan ilmu lakonan dan hala tuju dalam bidang seni, saya juga meminta pandangan dari bintang handalan seperti Christine Hakim dan Deddy Mizwar ketika berehat itu," katanya ketika ditemui di tayangan perdana Sinetron Kejora dan Bintang di Cathay Cineplek, Mutiara Damansara, kelmarin. Mengenai filem pula, kata Baim, dia pernah mendapat tawaran beraksi di layar perak tapi terpaksa ditolaknya kerana watak mendedahkan sebahagian tubuh tidak sesuai dengannya.

"Kalau orang tanya sampai bila saya ingin berlakon, pasti sampai bila-bila pun," katanya Selepas Kejora dan Bintang, Baim berlakon dalam Lagu Cinta Nirmala yang masih belum bersiaran. Pada tayangan perdana sinetron itu, Baim yang mengagumi penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza mengakui tidak menyangka mempunyai ramai peminat di Malaysia.


Justeru, tidak hairanlah ramai peminat hadir hingga ada yang datang dari Miri, Sarawak untuk bertemu lebih dekat dengan pelakon kacak itu. "Saya juga berhubung dengan peminat Malaysia di sini menerusi twitter. Setakat ini, saya sudah mempunyai 390,000 peminat Malaysia yang mengikuti perkembangan saya di laman sosial itu. "Ini kali kedua saya berkunjung ke Malaysia. Kali pertama, datang ke sini dengan bekas teman wanita, Jaslin. Pada pandangan saya, gadis di sini (Malaysia) sopan orangnya. Dari segi makanan pula, saya suka minum teh tarik kerana rasanya tidak sama seperti di Indonesia," katanya. Ditanya perancangan masa depannya pula, kata Baim, dia ingin bergelar ahli perniagaan satu hari nanti. Baim kini mempunyai francais restoran mi O La La di Indonesia dan merancang membuka francais di Malaysia pada masa akan datang.


Berkongsi cerita peribadi, nampaknya Baim belum bernasib baik dalam percintaan. Selepas dua kali putus cinta dengan artis jelita Marshanda pada 2008 dan Jaslin (2009), Baim masih belum bertemu penggantinya.

"Saya juga masih mencari gadis istimewa untuk mengisi kekosongan hati ini. Ciri-ciri gadis idaman saya ialah wanita yang baik dan solehah. Kalau sudah bertemu calon sesuai, sekarang juga saya ingin terus bernikah," katanya. Sementara itu, kata Baim yang beraksi sebagai Erlangga dalam sinetron Kejora dan Bintang, kali ini, dia digandingkan dengan pasangan heroin berbeza iaitu dengan pelakon cantik, Alyssa Soebandono.


"Alhamdulillah, gandingan kami bagus dan serasi dalam sinetron itu. Sebenarnya, karakter sebagai anak orang kaya yang agak sombong dan keras kepala dalam sinetron ini hampir sama dengan Benci Bilang Cinta cuma pasangan saya saja yang berbeza. "Saya pun tak tahu kenapa sering ditawarkan pengarah dengan karakter hampir sama. Sebagai pelakon, saya juga ingin mencuba karakter yang berbeza dalam lakonan seperti watak antagonis pula," katanya. Sinetron ini menceritakan seorang gadis, Kejora yang memiliki segala-galanya. Kejora gadis jelita yang ceria, bersikap optimis dan lahir dalam keluarga berada. Kejora mempunyai adik, Bintang yang menghidap autisme tapi sangat mahir bermain piano.

Bapanya, Ryan ahli perniagaan dikenali di Jakarta. Ibunya pula sudah meninggal dunia. Selepas kematian ibunya, Ryan berkahwin dengan Hanifa, janda beranak satu.


Sinetron hebat 72 episod ini turut dibintangi Rachel Amanda (Bintang), Lucky Perdana (Fitra), Mathias Muchus (Ryan), Cut Keke (Hanifa), Eva Anindhita (Janet) dan Mieke Wijaya (Nenek Gautama).

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/13
`