Isnin,27 Oktober 2014

Anak adalah amanah, ujian Allah

Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad

Baru-baru ini ketika saya bersiaran langsung di radio, seorang bekas pelajar saya yang memperkenalkan dirinya sebagai Mimi dari Pulau Pinang membuat panggilan.

Katanya, dia menyertai kursus MAP ketika di sekolah rendah dulu. Waktu itu, dia memang antara yang tercorot dalam kelas, tapi selepas MAP dia dapat 5A.

Waktu berada di tingkatan 3, dia menyertai kursus MAP sekali lagi, dan hasil­nya dia muncul sebagai pelajar terbaik sekolahnya. Ketika belajar di universiti, dia juga menjadi yang terbaik. Kini dia sudah bekerja di syarikat Shell dan tetap menjadi yang terbaik.

Membaca pengakuan kisah benar di atas, pastinya ramai ibu bapa mahukan anaknya menjadi cemerlang sebegitu. Bukan senang membesarkan mereka menjadi anak yang cemerlang dunia dan akhirat. Sebab itulah dalam Islam, anak adalah amanah dan ujian Allah atas hamba-Nya. Sebagai amanah, kita kena tunaikan segala hak seorang anak.


Pertama, kita mesti berikan mereka nafkah daripada rezeki yang baik dan halal. Dengan rezeki yang kita bawa pulang inilah anak kita membesar dan menjadi darah daging mereka.


Rezeki yang baik menjernihkan hati anak dan memudahkan mereka menerima nasihat, menghayati agama dan fokus dalam belajar. Hatinya terang dan mudah ­di­asuh serta dididik.

Ada segelintir ibu bapa yang merungut apabila anaknya malas belajar, tidak menjaga solat dan buruk akhlak. Malah, anak menjadi liar dan bergaul dengan kumpulan remaja yang berisiko tinggi.

Sebelum kita mencari penyelesaian terhadap masalah yang wujud cuba semak sumber rezeki dulu. Mungkin ia datang dari sumber berunsur judi, rasuah, haram, subahat dan tiada keberkatan.

Diriwayatkan Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah supaya apa saja doa permohonannya dikabulkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama 40 hari. Dan barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya.”

Oleh itu sebagai ibu bapa, betulkan perkara yang pokok ini dulu. Kalau sudah terlanjur maka mulalah bertaubat dan betulkan semula sumber rezeki kita.

Imam Ghazali berkata, “Jika kita ingin anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan.

Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor.”

Kedua, ibu bapa perlu memberikan didikan agama secukupnya. Kita tidak boleh lepas tangan dalam bab didikan agama ini. Jika kita tidak mampu dan tidak cukup ilmu, hantarlah anak ke kelas agama terutamanya berkaitan dengan bab kefahaman tauhid, solat, puasa dan fardu ain.

Anak yang sudah akil baligh, mereka sepatutnya jelas mengenai amalan yang wajib atas mereka. Mengikut pe­ngalaman saya dalam menjalankan program motivasi, ramai anak remaja, tapi masih belum betul wuduknya, tidak tahu mandi wajib, banyak melakukan kesilapan dalam solat dan tidak jelas mengenai tauhid. Anak yang sebegini mudah dipengaruhi dan sering memandang mudah amal ibadah dan sanggup mempermainkan agama.

Ibu bapa sanggup berhabis-habisan bagi memastikan anak mereka cemerlang dalam pelajarannya, tetapi berapa banyak pula sanggup dihabiskan bagi memantap­kan agama dalam diri anak.

Berapakah yuran yang kita bayar bagi tuisyen matematik atau Bahasa Inggeris?
Adakah kita sanggup mengeluarkan nilai wang yang sama untuk kelas fardu ‘ain?

Kadang kala kita tersilap meletakkan keutamaan dalam hidup kita.

Ketiga, ibu bapa perlu bentuk peribadi anak dengan adab dan sunnah Nabi SAW. Antara perkara yang saya lihat semakin terhakis dalam amalan hidup anak hari ini ialah tentang adab.

Adab makan, mandi, tidur, berpakaian, bertandang dan bercakap makin diringankan. Malah, sunnah Nabi SAW tidak lagi diberat­kan. Sedangkan adab dan sunnah ini membentuk jiwa anak yang halus iaitu peka mengenai dosa dan pahala, baik dan buruk, prihatin terhadap perasaan orang lain, hormat orang yang lebih tua, sayang pada alam sekitar, menghargai keamanan dan keindahan.

Anak yang berjiwa halus tidak akan menghancurkan hati orang tuanya, mudah dengar nasihat, tidak merosakkan harta benda, tidak buang sampah merata-rata, tertib, baik tutur kata, santun dan berbudi bahasa.

Pendek kata, apabila kita berjumpa dengan anak ini kita terpikat dengan aura dan karismanya. Inilah calon menantu yang baik dan menjadi rebutan. Oleh itu, belum terlambat untuk kita hidup­kan semula adab dan sunnah dalam keluarga.

Keempat, ibu bapa perlu berikan pelajaran yang baik. Sebagai ibu bapa kita mesti pastikan anak mendapat didikan dan pelajaran yang terbaik. Kalau mereka lemah dalam subjek tertentu, berkorban sedikit dan berikan mereka peluang menghadiri tuisyen.

Jika mereka tidak tahu tek­nik dan strategi belajar serta estim dirinya rendah, maka masukkan ke program motivasi.

Orang tidak tanya berapa banyak harta kita, tetapi apabila kita ada anak semua orang mahu tahu apa keputusan UPSR, PMR atau SPM mereka.

Setiap kali keputusan peperiksaan keluar, talian telefon kita sesak dengan panggilan yang datang bertalu-talu daripada saudara-mara dan rakan taulan bertanyakan keputusan peperiksaan anak kita.

Apabila anak ada peperiksaan besar, ibu bapalah (terutama ibunya) yang lebih tertekan. Sebab itu ada sesetengah ibu bapa begitu obses dengan semua ‘A’ padahal ia belum menjamin anak kita jadi orang hebat.

Di alam pekerjaan nanti kemahiran lain seperti kebolehan menyesuaikan diri dengan rakan sekerja, kemampuan memimpin, kepetahan bercakap dan berhujah serta kemampuan berfikir jauh lebih penting dan diperlukan.

Kelima, ibu bapa perlu berikan perlindungan. Anak pasti akan melakukan kesilapan, berhadapan dengan kegagalan, mempunyai masalah dan sebagainya. Kepada siapakah mereka mahu meluahkan dan meminta pandangan kalau bukan pada kita ibu bapanya.

Kita perlu pastikan yang anak kita tahu yang kita sentiasa bersamanya dalam apa juga keadaan. Kita menerima mereka seadanya dan dengan cara begitu mereka rasa selamat. Rasa selamat bukanlah bermakna kita tidak dedahkan mereka kepada cabaran dan risiko.

Rasa selamat bermakna dia tidak memerlukan orang lain selain dari ibu bapanya apabila berdepan dengan sesuatu keadaan. Anak yang rasa dirinya selamat dapat belajar dengan lebih baik dan tinggi estim dirinya.

Jelas sekali tanggung jawab ibu bapa dalam membesarkan anak bukanlah satu perkara kecil dan mudah. Malah, ia sesuatu yang amat penting dan antara agenda utama pembangunan ummah. Akhir sekali, masukkan anak ke kursus Motivasi Alihan Pelajar yang ba­nyak membantu anak yang lemah dalam pelajaran sejak 20 tahun lalu.

Selepas program dua hari itu nanti ibu bapa akan dapati anak mereka lebih mudah untuk dibentuk, lebih bersemangat dan mempunyai kesedaran diri yang tinggi akan tanggung jawab serta tujuan hidupnya.

Hubungi 03-22734622 atau 016-5580719 atau layari www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/21