Selasa,21 Oktober 2014

Anak Datuk kena dakwa

SUNGAI PETANI: Seorang jurujual lelaki yang juga anak ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang eksekutif pemasaran di kawasan Kelab Cinta Sayang, dekat sini, enam tahun lalu.

Tertuduh, Shahril Jaafar, 31, yang kelihatan tenang mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Raja Shahril Raja Baniamin.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju lokap ungu dan berkaki ayam.

Shahril didakwa dengan menyebabkan kematian ke atas Chee Gaik Yap, 31, di kawasan Kelab Cinta Sayang, di sini, antara jam 5.30 petang 3.05 pagi, 14 dan 15 Januari 2006.


Dia dituduh mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Raja Shahril menetapkan 11 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh.


Pada 18 Januari lalu, polis mendapat perintah tahanan reman seminggu ke atas seorang jurujual bagi membantu siasatan berhubung kes rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran di kawasan Kelab Cinta Sayang, dekat sini, kira-kira enam tahun lalu.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis sebaik tiba dengan penerbangan dari Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 17 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/01
`