Isnin,27 Oktober 2014

Aku isterinya temui penonton

Oleh Michelle Gun

Drama adaptasi novel semakin popular ditayangkan di televisyen tempatan dengan yang terbaru berjudul Aku Isterinya dan akan ditayangkan di TV3 mulai 31 Mac ini.

Mengisi slot Akasia pada jam 7 malam setiap Isnin hingga Khamis, drama bersiri 28 episod itu adalah adaptasi novel Aku Bukan Mistress nukilan Acik Lana.

Arahan Fairuz Loy, drama Aku Isterinya dijayakan oleh barisan pelakon hebat seperti Anzalna Nasir, Izzue Islam, Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Marissa Yasmin, Noniswara dan Mardiana Alwi.

Mengulas mengenai karya terbarunya, Fairuz berkata, jalan cerita novel Aku Bukan Mistress sarat dengan konflik, selain adalah karya yang popular.

Foto

FAIRUZ bersama barisan pelakon .

Foto

ANZALNA pertama kali berlakon watak baik.


“Saya tertarik dengan jalan cerita novel ini yang berakhir dengan kebahagiaan menjadikan inspirasi untuk menghasilkan drama,” katanya.


Bagaimanapun, pengarah itu meluahkan perasaan kecewa berikutan drama berkenaan tidak dibenarkan menggunakan tajuk sama dengan novel Aku Bukan Mistress.

“Tajuk drama ini terpaksa diubah kerana penggunaan bahasa bercampur tidak dibenarkan,” jelasnya.

Oleh demikian, Fairuz khuatir populariti drama Aku Isterinya mungkin terjejas sedikit kerana berpendapat tajuk sesebuah karya memainkan peranan penting.

“Beberapa drama sebelum ini dibenarkan untuk menggunakan tajuk sama dengan novel, namun terpaksa akur,” katanya.

Sementara itu, Anzalna yang berlakon sebagai Mya Arlissa kali pertama memegang watak bukan antagonis.

“Kali ini, saya dapat watak baik dan banyak lakon babak menangis dalam drama ini. Sebenarnya ini juga kali pertama saya membaca novel dan seronok dengan jalan cerita Aku Bukan Mistress,” katanya.

Drama Aku Isterinya mengisahkan Mya Arlissa dirogol bapa saudaranya dan dijual kepada seorang lelaki yang menjalankan kegiatan pelacuran.

Wanita itu diselamatkan seorang lelaki bernama Mikail yang menebus Mya daripada tauke sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.

Mereka hidup bersama selama dua tahun dan suatu hari Adam mengambil kesempatan ketika Mikail mabuk untuk merogol Mya.

Sejak kejadian itu, Mya mula mencari arah hidupnya kerana menyedari dia tidak layak meletak sebarang harapan terhadap Mikail yang menganggapnya sebagai pelacur.

Pada masa sama, Mikail masih dihantui perbuatan kekasihnya, Lisa berkahwin dengan bapanya sehingga menyebabkan keluarga dia berpecah belah.

Sementara itu, bekas kekasih Mikail, Suzanne kembali mengganggu hidupnya dan sentiasa menghasut ibu lelaki itu supaya benci Mya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26
`