Rabu,22 Oktober 2014

Air terjun gamit pengunjung

Oleh Amir Abd Hamid

KUALA PILAH: Kejernihan air terjun Ulu Bendul, di sini, yang terletak 25 kilometer dari bandar Seremban, bukan saja menggamit pengunjung di sekitar Negeri Sembilan, malah dari seluruh Malaysia yang mengambil kesempatan berehat sempena cuti umum.

Tinjauan Metroplus ketika cuti Hari Malaysia baru-baru ini, mendapati kawasan pelancongan diselia Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) terletak di tepi jalan utama itu, penuh dengan pengunjung bermandi-manda dan berkelah.


Selain air terjun cantik dan bersih hanya kira-kira 30 minit masa perjalanan dari Seremban untuk sampai ke situ.

Malah, MDKP turut membina beberapa kemudahan seperti kawasan perkhemahan yang boleh menampung lebih 100 khemah dalam satu-satu masa dan sebuah takungan air seluas 40 meter panjang dan 10 meter lebar yang berfungsi sebagai kolam bagi membolehkan orang ramai mandi dan berenang.


Pengunjung, Norfarahin Abd Razak, 18, dari Air Tawar, Kota Tinggi, Johor, berkata, bagi yang sudah berkeluarga, tempat itu amat sesuai untuk tujuan rekreasi kerana pengunjung boleh mengadakan pelbagai aktiviti bermain air dan bermandi-manda.


“Rasa lapang dada apabila berada di sini lebih-lebih lagi saya akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) tahun depan,” kata pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi, Johor.

Penolong Pegawai Perpustakaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Shahrim Daud, 44, berkata, dia suka datang ke Ulu Bendul kerana udara nyaman, di samping dapat melepaskan diri daripada kesesakan di bandar.


Shahrim ketika ditemui sedang leka melayan keletah empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan isterinya yang juga guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Norhidayah Hamsi, 36.

Empat anak mereka, Mohd Zaim Hazim, 10, Nur Aina Afrina, 9, Nur Rohadatul Aisy, 5 dan Ahmad Waiz Wazif berusia setahun tiga bulan itu seronok bermain air terjun.


Bagi peniaga, Mohd Khairy Zainal, 40, pula, cuti umum seperti Hari Malaysia yang jatuh pada hujung minggu memberikan rezeki berganda kepada golongan sepertinya.


“Jualan laris terutama menu istimewa Ais Batu Campur (ABC) Ulu Bendul. Pengunjung yang dahaga selepas mandi datang menikmati hingga tak menang tangan.


“Begitu juga dengan jualan lain seperti air kelapa, burger, pakaian mandi, pelampung dan cenderahati yang banyak terjual berbanding pada hari biasa,” katanya yang berniaga di kawasan itu sejak 1982.


Pada hari cuti, Mohd Khairy berniaga dibantu isteri, Hanita Abd Rahman, 35, dan tiga anak mereka yang berusia sembilan hingga 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/20

Artikel Lain

`