Ahad,21 Disember 2014

8 samseng lepas tembakan di pusat hiburan

Shah Alam: Keseronokan seorang lelaki mengunjungi pusat hiburan hampir meragut nyawanya apabila diserang sekumpulan lapan lelaki bersenjatakan parang dan pistol di Bukit Tinggi, Klang, dekat sini, awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika mangsa berhibur, suspek berusia 20-an menyerbu masuk ke dalam pusat hiburan berkenaan sebelum melepaskan beberapa das tembakan.


Katanya, mangsa yang ketakutan terus melarikan diri dan bersembunyi bersama pengunjung lain yang turut berada di pusat hiburan berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.


Katanya, polis kini memburu seorang suspek lelaki dikenali A Siritaran, 27, beralamat di Jalan Dato Yusof Sahabuddin, Taman Sentosa di Klang bagi membantu siasatan.


“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Syed Mohd Robart Syed Zain di talian 019-7505555,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Balakong, polis memburu dua lelaki selepas dipercayai terbabit dalam kejadian tembak dan tetak seorang lelaki pada 30 Mac lalu.


Mohd Adnan berkata, kejadian berlaku pada jam 4.50 pagi apabila polis menerima panggilan daripada doktor bertugas di unit kecemasan Hospital Kajang memaklumkan mengenai seorang lelaki yang parah akibat ditetak dan ditembak sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, mangsa berusia 29 tahun dan seorang penganggur ditembak di paha kanan selain ditetak di kepala dan tangan kiri.


“Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota polis dikejarkan ke hospital berkenaan dan mendapati mangsa yang dirawat dan dilaporkan stabil.


“Hasil siasatan awal, polis mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Seri Timah 1/14, Taman Seri Timah, Balakong,” katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.


“Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kedua-dua suspek ini, iaitu S Kalimuthu, 35, beralamat di Taman Sungai Besi Indah, Balakong dan S Alagendran, 30, yang beralamat di Persiaran Pandan 3, Pandan Jaya di Kuala Lumpur,” katanya.


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan kejadian juga diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Sofian Abu Bakar di talian 012-7786919 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Artikel Lain

`