Rabu,22 Oktober 2014

Pulangan lumayan

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Minat mendalam dalam seni jahitan sulaman mampu memberikan pulangan yang lumayan hingga ribuan ringgit sebulan sekiranya ia diusahakan secara serius sebagai satu perniagaan.

Apalagi dengan hasil kerja tangan menarik, disertakan produk yang mendapat permintaan ramai dan kurang persaingan, sesiapa saja mampu menjana pendapatan yang memberangsangkan.

Hakikat ini dibuktikan oleh dua wanita yang bijak mencari peluang menambah pendapatan biarpun masing-masing terikat dengan urusan seharian, bekerja sambil sibuk membesarkan anak-anak tercinta.

Bagi pembantu perpustakaan, Sarizal Hapimi Sabudin, 36, dia mula terbabit dalam perniagaan sulaman, menjahit logo dan nama sejak enam tahun lalu dengan bantuan suami.

Foto

Foto


Biarpun masih bekerja sepenuh masa, ia tidak menghalang ibu kepada empat anak itu untuk serius dalam perniagaan jahitan, malah menjadi penguat semangat kepadanya untuk terus memperbaiki taraf kehidupan menerusi kemahiran yang ada.


Bermula dengan sebuah mesin sulaman, dia kini mempunyai lima mesin bernilai hampir RM100,000 yang membantu melancarkan tugas menyulam memandangkan tempahan semakin banyak dari tahun ke tahun.

“Saya sudah enam tahun aktif menjahit sulaman tetapi hanya tiga tahun lalu, saya mula serius kerana melihat peluang menambah pendapatan ada di depan mata.

“Minat menjahit memang sudah ada dalam diri kerana ibu saya sendiri seorang tukang jahit dan memanfaatkan peluang apabila melihat tidak ada orang yang membuat sulaman di tempat saya.

“Ini kerana dulu setiap kali ibu selesai menjahit baju seperti baju korporat, ia perlu dihantar ke Kuala Lumpur pula untuk perkhidmatan menjahit logo kerana tidak ada orang yang menawarkan perkhidmatan itu di tempat kami,” katanya yang menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Mengakui masa agak terbatas apabila tempahan semakin meningkat, Sarizal agak keberatan meninggalkan pekerjaan tetapnya kerana merasakan dia masih mampu menyusun masa untuk perniagaan, suami dan anak-anak.

Bekerja dari rumah, Sarizal akan mula menumpukan perhatian untuk menyiapkan tempahan pelanggan sebaik pulang dari bekerja sekitar jam 6 petang.

Demi menyiapkan tempahan pada waktu yang dijanjikan, dia dengan bantuan suami, sanggup bersengkang mata setiap hari hingga ada kalanya mencecah jam 4 pagi.

Namun segala penat lelah setiap hari yang dilaburkan dalam menyiapkan semua tempahan, dirasakan berbaloi apabila pendapatan tambahan seisi keluarga mereka bertambah antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap bulan.

Malah berdasarkan sambutan pelanggan yang semakin memberangsangkan, Sarizal memasang impian untuk memperkembangkan lagi perniagaannya dan mencari beberapa orang pekerja untuk membantunya menyiapkan tempahan.

Akauntan, Jamaliyah Salleh, 42, yang turut menjalankan perniagaan sulaman dari rumah pula menumpukan kepada menghasilkan produk cenderahati seperti tuala kecil, baju T dan bekas tisu.

Walaupun baru dua tahun terbabit dalam perniagaan itu, Jamaliyah mendapat tempahan yang menggalakkan dan merasakan ia adalah tugas yang mudah kerana ia dilakukan oleh mesin sulaman yang canggih.

“Saya boleh menyiapkan sulaman sambil membuat kerja lain kerana mesin yang saya gunakan melakukan segalanya. Anak saya yang masih bersekolah turut berminat dan membantu memeriksa sulaman yang dibuat.

“Cuma perlu memilih corak dan menukar benang jika ia kehabisan. Kerjanya amat mudah dan Persatuan Seni Jahitan Kreatif turut membantu mencarikan pelanggan,” katanya yang ditemui pada Konvensyen Evolusi Seni Jahitan Kreatif 2013 baru-baru ini.

Katanya, perniagaannya hanya dijalankan di ruang tamu supaya pelanggan mudah memilih corak sulaman serta berbincang mengenai cenderahati yang sesuai dengan majlis mereka.

Pendapatan yang diperoleh oleh ibu empat anak itu juga banyak membantu meringankan perbelanjaan seharian serta persekolahan anak-anak, serta digunakan untuk menjelaskan bil dan pinjaman rumah.

“Pada saya semua orang boleh menambah pendapatan dengan perniagaan jenis ini. Semuanya atas kehendak sendiri, sama ada mahu ataupun tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/01
`