Selasa,21 Oktober 2014

GM2 cari bintang versatil

Oleh NORHADIANI BAHAROM

Program realiti terbaru, Gadis Muka 2 (GM2) yang mula disiarkan di Astro Ria jam 10 malam ini, dijangka mencipta satu lagi sejarah dalam industri penyiaran tempatan.

Ia memaparkan perjalanan 10 peserta yang berjaya menempatkan diri sebagai finalis yang dipilih daripada lebih 1,000 peserta yang menghadiri uji bakat.


Mereka yang bertuah adalah Aidiliahilda Abdul Halim (Aidilia), 19, dari Rawang, Selangor; Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa), 19, Parit Buntar, Perak; Nur Syamera Ab Rasif (Myra), 21, Kota Tinggi, Johor; Alia Afiqah Abden (Lia), 21, Tawau, Sabah; Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra), 21, Setapak, Kuala Lumpur; Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf (Sarah), 22, Ampang, Selangor; Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22, Subang Jaya, Selangor; Siti Nor Izumi Salleh (Izumi), 23, Bangi, Selangor; Siti Nursyahira Nabila (She), 23, Subang Jaya, Selangor dan Nur Asikin Kamarudin (Ekin), 24, Masjid Tanah, Melaka.

Episod pertama rancangan terbitan I Like Entertainment Sdn Bhd di bawah kumpulan Sedania dengan kerjasama Harian Metro itu akan paparkan detik peserta melangkah ke sesi uji bakat. Penerbit menetapkan syarat supaya mereka hadir berwajah polos tanpa secalit solekan bagi melihat kecantikan asli mereka.


Selain itu, Snips Group pula akan sentiasa memastikan penampilan wajah dan rambut diberi tatarias betul. Dalam pada itu cabaran yang bakal dilalui peserta juga disokong Inglot Cosmetic, Shu Uemura dan Loreal.


Dalam episod ini juga akan dipaparkan kemahiran komunikasi peserta ketika sesi temuramah selain keupayaan dan keyakinan mereka beraksi di depan jurugambar.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, program dengan ‘tagline’ Pencarian Selebriti Terunggul itu bertujuan mencungkil bakat seni yang terpendam, selain menilai personaliti serta perwatakan setiap gadis.


Katanya, pihaknya berbangga GM2 membawa bersama dua ‘gergasi’ media Melayu tempatan iaitu Astro dengan 1.93 juta penonton rangkaian Melayu dan Harian Metro dengan empat juta pembaca hariannya.

“Kami yakin gabungan pelanggan Astro dan pembaca Harian Metro, mampu menjadikan GM2 satu program realiti yang berjaya, apatah lagi ia mengetengahkan pengisian yang berbeza daripada program realiti sedia ada.


“Program ini diwujudkan bagi melahirkan bintang versatil, sekali gus menjadi pelapis kepada bintang tanah air yang menyinari persada seni hiburan,” katanya.


Episod pembuka GM2 ini turut memperkenalkan hos, Awal Ashaari, Dynas Mokhtar sebagai Big Sister, manakala Datin Sofia Jane dan Zaihani Zain selaku juri tetap.


Dalam pada itu, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, GM2 yang bakal ditayangkan sebanyak tujuh episod adalah satu konsep program realiti berbeza daripada apa yang pernah ditayangkan kepada penonton sebelum ini.


”Astro sentiasa akur dengan permintaan pelanggan yang mahukan pengisian segar dan terkini. Melalui pemerhatian kami, selain tarian, nyanyian, komedi dan lakonan, pencarian bakat serba boleh juga satu lagi cabang seni yang sering mendapat perhatian ramai.


“Penerbitan Gadis M2 juga antara inisiatif Astro untuk memberi peluang kepada gadis muda dengan menyediakan platform bagi menjana daya kreativiti dan kemahiran, sekali gus menyerlahkan bakat terpendam serta potensi yang mereka miliki di bawah pengawasan dan tunjuk ajar barisan penasihat,” katanya.


Juara Gadis M2 bakal ditawarkan kontrak artis bernilai RM100,000 serta membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM30,000, tajaan pembiayaan dari Snips Academy of Arts (RM20,000) dan tiket penerbangan pergi dan balik ke Paris tajaan Air France.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Artikel Lain

`