Ahad,26 Oktober 2014

‘PRU-13 terbaik!’

Putrajaya: “Saya tidak setuju bila ada pihak mengatakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini sebagai paling kotor sedangkan kita sudah melakukan pelbagai penambahbaikan dan perubahan. Pilihan raya ini adalah yang terbaik,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, proses perjalanan PRU-13 hanya akan tercemar apabila parti politik dan penyokong mereka tidak mematuhi undang-undang, peraturan serta kod etika ditetapkan, bukannya disebabkan SPR.


“Kita sudah memperkenalkan sekurang-kurangnya 19 perubahan, undang-undang, peraturan dan kod etika. Jika mereka (parti politik dan penyokong) mematuhinya, PRU-13 akan menjadi pilihan raya paling aman di Malaysia.

“Masalahnya berpunca apabila segelintir penyokong parti cuba mengambil undang-undang dan peraturan sendiri. Kalau mereka mematuhi nasihat SPR, pilihan raya akan berlangung dengan aman,” katanya pada sidang media mengumumkan tarikh penting PRU-13 di pejabat SPR, di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan lima ahli panel lain termasuk Datuk Ramji Alli; Datuk Dr P Manogran; Datuk Christopher Wan Soo Kee; Datuk Md Yusop Mansor serta Abdul Aziz Khalidin.


Mengenai kekecohan yang berlaku di beberapa lokasi ceramah politik sebelum ini, Abdul Aziz berkata, berdasarkan laporan diterima ia tidak begitu serius.

“Tetapi, saya berharap mereka tidak meneruskan sikap ini sepanjang kempen rasmi bermula 20 April hingga 4 Mei ini. Saya harap pemimpin setiap parti politik menasihatkan ahli dan menyokong mereka supaya rasional serta tidak mengikut emosi.


“Patuhi undang-undang ditetapkan SPR dan polis, PRU-13 bukan pilihan raya terakhir di Malaysia, kita ada pilihan raya umum setiap lima tahun. Kalau kalah kali ini, cuba lagi nanti,” katanya.

Beliau berkata, SPR juga mengingatkan calon dan parti yang bertanding mengenai kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) sekiranya seseorang itu disabitkan dengan rasuah, dia boleh dipenjara dan didenda.


“Sepanjang tempoh PRU-13, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau apa-apa aktiviti bagi memastikan mana-mana individu yang didapati melanggar Akta 5 disiasat dan didakwa jika mempunyai bukti lengkap,” katanya.


Menurutnya, SPR juga mengingatkan majikan supaya memperuntukkan tempoh munasabah kepada pekerjanya untuk keluar mengundi. Mengenai pemilihan tarikh penamaan calon dan pengundian, Abdul Aziz berkata, tarikh itu dipilih selepas mengambil kira tiada pertindihan dengan sebarang perayaan atau peristiwa penting pada hari berkenaan.


“Kita juga memilih tarikh pengundian pada 5 Mei selepas merujuk Jabatan Kaji Cuaca yang meramalkan keadaan cuaca hari itu baik,” katanya.


Beliau berkata, tempoh kempen 15 hari diputuskan selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk cadangan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.


“Kita lihat keperluan dari segi undi awal dan undi biasa, selepas menimbang perkara itu, SPR merasakan tempoh 11 hari adalah minimum dan kita mengambil keputusan (hari berkempen) lebih lama,” katanya. Pada PRU-13 ini, seramai 13,268,002 pemilih yang terdiri daripada 12,992,661 pengundi biasa; tentera dan pasangan (161,251); polis, pasangan dan Polis Gerakan Am (PGA) (111,136) serta pengundi tidak hadir luar negara (2,954) akan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11

Artikel Lain

`