Sabtu,20 Disember 2014

‘Taska’ warga emas

Oleh Hairulazim Mahmud

KUALA LUMPUR: “Ada warga emas yang tinggal bersendirian dan kesunyian, jadi saya menyarankan pemaju perumahan sediakan pusat aktiviti bagi golongan berkenaan dalam projek mereka selepas ini.”

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu pusat itu disediakan berkata, ia wajar diwujudkan sama seperti keperluan menyediakan taska dan tadika.


“Satu prasarana yang memerlukan perhatian khusus ialah penubuhan pusat aktiviti bagi warga emas secara lebih meluas dalam komuniti setempat,” katanya berucap melancarkan sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan di sini semalam. Majlis bertemakan Warga Emas Produktif: Melakar Masa Depan itu turut dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie. Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pada masa ini golongan itu boleh menggunakan 45 dewan di bawah kementerian sebagai pusat aktiviti warga emas. Katanya, kemudahan itu membolehkan warga emas menjalani aktiviti sosial dan riadah bersama anggota masyarakat lain atau rakan sebaya bagi memastikan mereka terus produktif dan rasa dihargai.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan warga emas terus menyumbang dan berperanan kepada negara, antaranya meningkatkan umur persaraan penjawat awam dari 58 kepada 60 tahun bermula tahun ini. Katanya, kerajaan juga menggubal Akta Umur Persaraan Minimum 2012 bagi menetapkan umur persaraan minimum bagi pekerja swasta. “Langkah itu sebahagian daripada persediaan negara untuk menghadapi cabaran penuaan kerana berdasarkan unjuran, Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah warga emas,” katanya. Perdana Menteri berkata, golongan itu membabitkan 2.2 juta orang atau 7.7 peratus daripada keseluruhan 28.3 juta penduduk negara juga boleh terus produktif dengan mengambil kesempatan daripada pelbagai insentif disediakan kerajaan seperti menceburi bidang koperasi. Najib berkata, untuk itu, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menawarkan geran serta pinjaman mudah sehingga RM80,000 kepada mereka yang mahu menubuhkan koperasi baru. “Secara khususnya, geran automatik RM30,000 ditawarkan berdasarkan projek koperasi dikemukakan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia, malah pada masa sama koperasi itu juga diberi keistimewaan membuat pinjaman RM50,000 lagi tanpa cagaran berbanding melalui bank perdagangan,” katanya. Berkaitan sambutan itu, katanya, tema dipilih sesuai kerana warga emas aset penting kepada negara berlandaskan ilmu, pengalaman dan kepakaran yang sukar diganti selain usia emas serta persaraan tidak harus dilihat sebagai noktah bagi mereka terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Sijil Penghargaan Warga Emas kepada individu yang masih aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat.


Mereka ialah aktivis wanita, Datuk Khotijah Ahmad, 74, dari Pekan, Pahang, Setiausaha Kehormat Persatuan Pencegahan Tuberculosis Malaysia Melaka, S V Vijayathevan, 82, dari Melaka, Penceramah motivasi pertubuhan wanita, Datuk Salbiah Painoh, 76, dari Sarawak, Ahli Biro Bantuan Guaman Sabah, Orang Kaya-Kaya Abdul Kadir Abd Ghani, 74, dari Sabah dan bekas guru, Datuk Lum Kin Tuck @ Lum Kum Tuck, 93, dari Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18
`