Ahad,26 Oktober 2014

Akta pendermaan organ diperkenal

KUALA LUMPUR: Satu akta berkaitan pendermaan organ akan diperkenalkan kerajaan sebagai langkah untuk menyelesaikan sebarang permasalahan berbangkit selain menggalakkan orang ramai mengambil peluang beramal tanpa sebarang keraguan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata perkara itu masih di peringkat permulaan dan pihaknya perlu mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk pakar dari Pusat Sumber Transplan Nasional sebelum membuat keputusan lanjut.


Katanya, tiada akta yang diperuntukkan khusus bagi memantau dan mengawal sebarang aktiviti berkaitan pendermaan organ dan itu salah satu faktor mengapa orang ramai tidak begitu cenderung untuk berbuat demikian.

“Dengan adanya akta ini, kita berharap ianya dapat dijadikan satu garis panduan bagi membolehkan aktiviti menderma organ ini diterima secara meluas rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Liow berkata, akta yang dikenali sebagai Akta Transplantasi itu nanti akan membolehkan penderma yang bukan ahli keluarga penerima menyumbang organ mereka kepada penerima tanpa sebarang masalah biarpun mempunyai latar belakang agama yang berbeza.


“Orang ramai sering keliru mengenai kaedah yang diguna pakai dalam proses pendermaan organ ini kerana wujud perbezaan latar belakang agama dan bangsa. Kita akan mengambil kira semua faktor ini supaya masyarakat di Malaysia tidak lagi sangsi apabila menderma kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/18

Artikel Lain

`