Jumaat,24 Oktober 2014

200 penyokong gegar ibu pejabat PBNP

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Suasana agak tegang berlaku di depan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di Jalan Bukit Ubi apabila kira-kira 200 penyokong skuad Tok Gajah berkumpul menuntut kembali wang masing-masing selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) dibatalkan, kelmarin.

Perhimpunan itu yang pada mulanya berlangsung aman, bertukar kecoh apabila PBNP enggan memulangkan semula wang sebaliknya hanya menggantikan tiket dengan tiket ke Stadium Bukit Jalil yang menjadi venue pertemuan itu selepas aksi di Stadium Darul Makmur dibatalkan atas faktor keselamatan.


Seorang penyokong, Hazni Ismail, 40, berkata dia datang ke pejabat PBNP untuk mendapatkan kembali RM12 iaitu harga tiket dibeli untuk menyaksikan aksi separuh akhir kedua Piala FA.

Menurutnya, dia berbuat demikian kerana tidak dapat ke Bukit Jalil yang pastinya memerlukannya belanja tinggi.


Saya datang ke sini apabila dimaklumkan tiket ini boleh ditebus dengan wang tapi kecewa apabila wakil PBNP mengesahkan tiket hanya boleh ditebus dengan tiket saja,” katanya.


Seorang lagi penyokong Pahang, Akram Abdul Razak, 36, berkata kekangan kewangan menyebabkan dia memilih untuk menebusnya dengan wang tapi terkilan apabila dimaklumkan PBNP hanya akan menggantikan tiket dengan yang baru.

“Bagi saya tidak semua peminat mampu ke Bukit Jalil dan sepatutnya kejadian ini dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.


Sementara itu, Naib Presiden Satu PBNP Datuk Dr Omar Othman berkata, penyokong Pahang yang masih mempunyai keratan tiket pada perlawanan Selasa lalu boleh menukarkannya dengan tiket untuk menyaksikan perlawanan itu di Bukit Jalil dan proses penukaran itu boleh dibuat di Stadium Darul Makmur dan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh bermula jam 10 pagi ini.

“Bagi yang tidak berkesempatan ke Bukit Jalil, mereka dinasihat supaya menyimpannya sebelum menukarkan tiket untuk perlawanan Pahang-Perak pada 22 Jun depan.


“Dalam isu ini, kami tidak boleh mengembalikan wang kerana sudah termaktub, jika berlaku pembatalan perlawanan, wang tidak akan dikembalikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31
`