Ahad,21 Disember 2014

10 ajaran sesat masih aktif

Oleh Hayati Ibrahim

PUTRAJAYA: Sepuluh kumpulan ajaran sesat yang dipercayai masih bergerak aktif di seluruh negara perlu dihapuskan segera kerana dikesan mengamalkan pelbagai amalan yang bercanggah ajaran Islam dan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Amalan itu termasuk mengajar ilmu tasawuf dan tarekat bercorak kebatinan; memperkenalkan aliran pemikiran lama dan baru; mengamalkan wirid bercorak kebatinan dalam persilatan, amalan khurafat dan perbomohan.


Kumpulan berkenaan adalah Syiah; al-Arqam atau Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) atau Global Ikhwan Sdn Bhd; Islam Jamaah; Ajaran Azhar Wahab (Pengasas Al-Mansor Holding Sdn Bhd), Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah; Pemuda Kahfi, Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah Sheikh Nazim; Qadiani/Ahmadiah; Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan ajaran Aurad Islamiah. Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 95 pergerakan yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam dan pegangan Al-Sunnah Wal-Jamaah sama ada oleh Muzakarah Jawatankuasa Majli Fatwa Kebangsaan atau Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri di seluruh negara dalam tempoh 20 tahun lalu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustafa, berkata semua kumpulan itu perlu dihapuskan secepat mungkin oleh pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara.


“Kita memandang serius terhadap perkara ini kerana ia membabitkan soal akidah umat Islam serta boleh menjejaskan keamanan di negara ini.


“Jadi, sepuluh kumpulan ini akan diberi keutamaan untuk dihapuskan bagi mengelakkan ia terus tersebar dalam negara,” katanya.

Othman berkata Jakim dan pihak berkuasa agama negeri juga sedang memantau cubaan sesetengah pihak yang cuba menyebarkan pelbagai ideologi baru seperti pluralisme dan fahaman berbentuk ekstremis dengan memperalatkan golongan pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi di Malaysia.


Katanya, fahaman seumpama itu bukan saja merosakkan akidah umat Islam, tetapi turut mengundang pelbagai masalah lain seperti rusuhan agama dan perang saudara.

“Namun, kita terpaksa menghadapi beberapa masalah dalam menangani masalah ini seperti ketidakseragaman undang-undang syariah di peringkat negeri dan salah faham umat Islam terhadap isu akidah termasuk ilmu tarekat dan tasawuf.


“Keadaan itu memaksa kita meminta Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri melakukan kajian, sekali gus menyelaras keputusan berhubungan fatwa pengharaman sesuatu kumpulan ajaran sesat,” katanya.


Beliau berkata, Jakim turut menubuhkan unit penyelidikan untuk memantau dan mengenalpasti mereka yang cuba menyebarkan ajaran sesat dan tarikat yang menyeleweng menerusi blog, laman web sosial seperti Facebook dan twitter.


"Kita mengakui kumpulan ajaran sesat hari ini sentiasa memanipulasi teknologi baru untuk mengembangkan fahaman dan merekrut ahli baru,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/09

Artikel Lain

`