Keadaan banjir di Johor semakin baik. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


SERAMAI 9,144 mangsa daripada 2,487 keluarga masih ditempatkan di 91 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan daerah di Johor sehingga 5 petang ini.

Ia menunjukkan penurunan 41 keluarga membabitkan 291 mangsa berbanding 1 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, bilangan PPS yang dibuka ketika ini bertambah satu kepada 91 di lapan daerah berbanding 90 PPS, empat jam lalu.

Daerah terjejas katanya, masih kekal di Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Kulai, Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian manakala Muar kembali pulih dan Tangkak masih belum terjejas.

Menurutnya, Kota Tinggi masih daerah terburuk dilanda banjir dengan 19 PPS masih dibuka menempatkan 2,858 mangsa daripada 752 keluarga; Kluang (2,522 mangsa daripada 708 keluarga di 28 PPS); Segamat (1,483 mangsa daripada 395 keluarga di 25 PPS).

Selain itu, katanya, Mersing (1,285 mangsa daripada 364 mangsa di 10 PPS); Johor Bahru (603 mangsa daripada 164 keluarga di dua PPS); Pontian (212 mangsa daripada 51 keluarga di tiga PPS); Kulai (102 mangsa daripada 33 keluarga di satu PPS) dan Batu Pahat (79 mangsa daripada 20 keluarga di tiga PPS).

“PPS Balai Raya Kampung Melayu Batu 4, Paloh, Kluang ditutup 2 petang semalam manakala lima PPS lain, Balai Raya Kampung Muhibbah, Paloh; Bangunan GPW Maokil, Muar; Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara Taman Bukit Mutiara, Johor Bahru, ditutup pada 10 pagi tadi.

“Dua PPS lain, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Batu, Kulai, ditutup 8 pagi tadi manakala Sekolah Agama Dato’ Haji Abdul Rahman Ahmad, Johor Bahru, ditutup 1 tengah hari tadi.

“Dua jalan di Kampung Tunjuk Laut, Jalan Kampung Mawai Lama dan sebahagian Jalan Mersing-Johor Bahru ditutup kepada semua kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 6:17 PM