MAYAT mangsa dibawa polis untuk bedah siasat. FOTO NSTP
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


“SEBELUM kejadian mereka bergaduh dan saya segera keluar dari bengkel untuk menghubungi majikan.

“Sebaik sampai semula ke bengkel saya mendapati salah seorang rakan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” kata seorang warga Nepal yang enggan dikenali.

Lelaki terbabit memberi reaksi itu mengenai rakan sekerjanya yang maut dipercayai ditikam di sebuah bengkel besi di Desa Tun Razak Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, di bengkel besi itu ada empat pekerja yang mana dua warga Nepal dan dua warga Myanmar.

“Kami menginap ditingkat atas bengkel ini yang terdapat dua bilik. Saya sebilik dengan rakan senegara, manakala dua lagi rakan itu sebilik.

“Sebelum ini, saya tidak pernah mendengar mereka bergaduh, cuma pagi tadi kira-kira 8 pagi berlaku pertelingkahan mulut sebelum mereka bergelut sehingga ke bahagian bawah bengkel,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, selepas itu dia terus keluar dari bengkel berkenaan dan menghubungi majikan.

“Sebaik saya sampai semula ke bengkel saya melihat salah seorang rakan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri, manakala rakan senegaranya sudah tiada di lokasi.

“Selepas itu, majikan dan polis tiba untuk siasatan. Saya sudah kerja di sini lebih sembilan tahun, manakala mangsa baru tiga ke empat bulan kerja di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya akan memberi kenyataan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 6:04 PM