Nelayan di Kampung Belukar, Kuantan hari ini mengangkat bot untuk disimpan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. Foto Muhd Asyraf Sawal
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

HUJAN lebat sejak dua hari lalu dijangka semakin berkurangan di bahagian timur Johor mulai hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Jailan Simon berkata, berdasarkan pemantauan sistem cuaca, hujan kini mula bergerak ke selatan Pahang kesan daripada angin Monsun Timur Laut.

Menurutnya, hujan lebat di beberapa daerah di Johor sejak beberapa hari lalu berlaku kerana tekanan rendah dari kawasan bawah Singapura sehingga angin tertumpu di Johor.

“METMalaysia jangka hujan akan semakin berkurangan di Johor tetapi sekali-sekala masih juga boleh berlaku hujan lebat.

“Banjir di Johor juga akan pulih namun tempohnya tidak dapat dipastikan kerana bergantung kepada tanah di kawasan terjejas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beberapa daerah di Johor terjejas kerana banjir sejak dua hari lalu antaranya Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Batu Pahat, Kulai dan Muar.

Rompin di Pahang juga sudah mula terjejas apabila pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, Jailan berkata, air pasang dan ombak besar di perairan Terengganu menyebabkan kawasan pesisir pantainya mengalami hakisan teruk.

“METMalaysia sudah mengeluarkan amaran kategori dua di kawasan Pantai Timur dengan kelajuan angin dijangka 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.5 meter.

“Nelayan dan pengguna pengangkutan laut seperti feri dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di laut jika bacaan angin dan ombak masih tidak normal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 4:55 PM