Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

PRESIDEN Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar hadir ke Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini untuk memberi keterangan berhubung isu komunis.

Beliau hadir kira-kira 2 petang untuk diambil keterangan oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) bagi membantu siasatan.

Difahamkan, beliau dipanggil pihak polis untuk mendapatkan pandangannya berkaitan majlis memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989 di sebuah dewan di Kajang 1 Disember lalu dan abu mayat Chin Peng.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya memanggil Zainul Rijal hari ini untuk membantu siasatan.

“Kita ingin mendapat pandangannya sebagai seorang peguam berkaitan isu abu Ching Peng dan perjumpaan bekas anggota PKM bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Zainul Rijal ada menulis artikel menyatakan komunis bukanlah wira yang perlu dijulang sebaliknya pengkhianat negara, merosakkan negara dan mahu menjajah dengan menerapkan ideologi komunis mereka di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 4:04 PM