Muhammed Yusoff Rawther
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

BEKAS penyelidik di pejabat PKR, Muhammad Yusoff Rawther sedia untuk menjalani ujian poligraf dalam kes dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dirinya bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dengan adil dan telus.

Peguamnya, Hanif Khatri berkata, anak guamnya sedia pada bila-bila masa dan hanya menunggu arahan daripada polis untuk berbuat demikian.

“Muhammed Yusoff menyedari hanya mahkamah yang berhak menentukan sama ada mahu menerima hasil ujian poligraf berkenaan.

“Namun, beliau bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan polis bagi membantu melengkapkan siasatan secara adil dan konklusif.

“Beliau juga sedar tiada peruntukan undang-undang khas menyatakan ujian poligraf hendaklah dilakukan dalam siasatan jenayah seperti ujian forensik yang lain, namun Muhammed Yusoff percaya bahawa teknologi itu perlu digunakan dalam proses siasatan bagi menyokong dakwaannya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan ujian poligraf antara pilihan yang akan dipertimbangkan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes dakwaan Muhammed Yusoff terhadap Anwar.

Pada 9 Disember lalu, Muhammed Yusoff ditemani Hanif hadir memberi keterangan di Bukit Aman selama lebih tujuh jam susulan akuan bersumpahnya.

Keesokan harinya, dia hadir buat kali kedua untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang mengendalikan kes itu.

Anwar pula hadir ke Bukit Aman pada Khamis lalu bagi memberikan keterangan.

Terdahulu, polis mula menjalankan siasatan susulan laporan dibuat Muhammed Yusoff di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah yang dibuatnya itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudian menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhammed Yusoff yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh beliau pada 2 Oktober tahun lalu dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

Berita berkaitan

'Polis hadir ke rumah Anwar'

'Anwar beri keterangan di Bukit Aman'

'Kes Yusoff Rawther: Anwar sedia beri keterangan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 3:49 PM