FOTO Hiasan
BERNAMA

SURI rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan menipu urusan sewa beli dan dokumen rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) membabitkan kerugian RM6,308.

Mazni Mahmud, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 24 tahun untuk mempercayai bahawa projek rumah PR1MA wujud dengan mendorong mangsa untuk memindahkan wang berjumlah RM6,308 ke akaun Maybank milik tertuduh.

Berikutan itu mangsa telah membuat transaksi RM6,308 sebagai deposit rumah berkenaan di sebuah rumah di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, pada 16 Ogos 2017.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mazni juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi dokumen tawaran unit rumah PR1MA daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sebuah rumah di Setapak Jaya pada 30 Oktober 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, ibu dua anak yang tidak diwakili peguam itu tidak membuat rayuan kerana tiada penjamin.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 16 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 6 Disember lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan sama membabitkan kerugian hampir RM6,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 3:26 PM