Parlimen melakar sejarah dengan tertubuhnya Kaukus Dewan Negara yang pertama di negara ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PARLIMEN sekali lagi melakar sejarah dengan tertubuhnya sebuah Kaukus Dewan Negara iaitu yang pertama di negara ini.

Menurut Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran, penubuhan kaukus itu dipersetujui Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara secara sebulat suara.

“Sukacita ingin saya memaklumkan bahawa Jawatankuasa “Pemilih Dewan Negara bermesyuarat Khamis lalu dan sebulat suara bersetuju bagi membentuk kaukus Dewan Negara seperti mana dilaporkan melalui kertas dewan DN2/2019 Penyata khas Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara yang saya perintah untuk dibentangkan di meja mesyuarat hari ini.

“Semoga semua ahli kaukus dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan baik,” katanya ketika persidangan Dewan Negara hari ini.

Vigneswaran berkata, keahlian kaukus terdiri daripada 13 ahli senator iaitu Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Senator Datuk Paul Igai, Senator Datuk Ismail Yusop, Senator Datuk Razali Idris, Senator Nga Hock Cheh, Senator Datuk Theodore Douglas Lind, Senator Datuk Ismail Ibrahim, Senator Datuk Dr S Ananthan.

Keahlian kaukus yang lain ialah Senator Datuk Lee Tian Sing, Senator Asmak Husin, Senator Raj Munni Sabu, Senator Adrian Lasimbang dan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Sementara itu, Mohd Yusmadi berkata, mesyuarat pertama Kaukus Dewan Negara dijangka dapat dibuat pada sesi Dewan Negara kali ini bagi melantik jawatan tetap pengerusi kaukus itu.

Beliau berkata, secara lazimnya, kaukus berkenaan boleh berfungsi sebagai platform untuk ahli Parlimen mahupun senator untuk mencadangkan dan memperhalusi sesuatu isu seperti perkara membabitkan kepentingan awam.

“Penubuhan kaukus ini dicadangkan Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara.

“Kami mewakili rakan senator dari pelbagai latar belakang selama ini sudah berusaha ke arah reformasi Parlimen dalam konteks Dewan Negara.

“Platform ini diiktiraf di bawah amalan Parlimen serta di peringkat antarabangsa.

“Agenda pemerkasaan dan reformasi Parlimen oleh kerajaan ternyata berhasil dan dapat berjalan seiring,” katanya hari ini.

Ismail Yusop berkata, kaukus itu adalah hasil usaha kesinambungan rakan-rakan senator terdahulu yang sudah tamat perkhidmatan serta memberikan komitmen yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 3:15 PM