Syahzan Imran bersama ibu bapanya selepas menerima pingat gangsa. FOTO Ihsan Khairil Anuar Hisham
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


USIA muda tidak menghalang kanak-kanak merangkul pingat gangsa dalam pertandingan World Chefs Championship 2019 (berasaskan produk Kedah) di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar semalam.

Syahzan Imran Putra Khairil Anuar Hisham, 13, berjaya merangkul dua pingat gangsa bagi kategori ‘Chicken Main Course and Salmon’ termasuk Anugerah Juri sebagai peserta muda.

Katanya, dia menyertai pertandingan itu hasil galakan bapanya yang juga chef berpengalaman.

“Sebenarnya saya hanya menjadi pembantu bapa ketika dia membuat demonstrasi masakan tapi saya tak pernah masak.

“Saya hanya dilatih dua minggu, bapa saya mengajar saya mengendalikan peralatan, api dan asas masakan yang tertumpu kategori yang saya masuk,” katanya dari Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamamed Al-Bukhary itu berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman memasuki pertandingan memasak, namun dia tetap bertenang bersaing dengan peserta yang lebih berusia dan berpengalaman dari serata dunia.

Katanya, dia tidak menyangka diumumkan pemenang pingat gangsa bagi dua kategori terbabit dan ia menjadi suntikan semangat untuknya berjinak dalam bidang masakan.

Sementara itu, Khairil Anuar Hisham Mahmud, 42, berkata, dia akan terus memberi tunjuk ajar kepada anak sulungnya itu mendalami ilmu kulinari.

Tenaga pengajar dalam bidang berkenaan di sebuah akademi di sini itu bagaimanapun tidak memaksa anaknya atau lebih mesra dipanggil Abang mengikut jejaknya.

“Mengalir air mata saya ketika dia beraksi di gelanggang, tak sangka dia sangat tenang dan boleh ikut apa yang saya ajar.

“Pengalaman adalah emas buat abang, saya harap anak saya mampu untuk menguasai kemahiran ini sebaik mungkin, saya mahu dia mempunyai banyak kemahiran dan jika dia mahu mengejar cita-citanya sebagai jurutera selepas ini, saya sokong,” katanya yang berpengalaman 18 tahun sebagai chef.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 3:00 PM