ANTARA kawasan dilandar banjir di Rompin. FOTO Ihsan Bomba dan APM.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


MANGSA banjir di Rompin terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 1,003 mangsa daripada 256 keluarga dipindahkan setakat 8 pagi, hari ini.

Ia berbanding hanya 790 mangsa membabitkan 204 keluarga, petang semalam.

Menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), satu lagi PPS dibuka iaitu di Balairaya Rekoh, di sini, menjadikan 10 PPS sudah dibuka.

Sebelum ini, PPS yang dibuka adalah Balairaya Lintang/ Surau Kampung Perpat; Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok; Balairaya Kampung Sepayang; Balairaya Kampung Janglau; pusat pemindahan Banjir Kampung Setajam.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu; Dewan Angkat Berat Rompin; SK Sarang Tiong dan Balairaya Bukit Lepas.

Semua mangsa banjir dipindahkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan lori dan bot penyelamat.

Sementara itu, laporan dikeluarkan sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri mencatatkan 15 kawasan penempatan di Rompin terjejas akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 9:48 AM