GEDUNG perabot digenangi air. FOTO Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


ARAS bawah sebuah gedung perabot terkemuka di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur, dinaiki air hari ini akibat masalah pam air dan saliran tersumbat.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 6:45 petang berhubung insiden itu.

Komander Operasi, Mohamad Shukri Abidin berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dengan kekuatan lima anggota di kerah ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba mendapati bangunan aras bawah itu dinaiki air disebabkan pam air di gedung itu tidak dapat menampung jumlah air yang masuk kerana hujan lebat dan saliran yang tersumbat.

“Selepas anggota melakukan analisa di keseluruhan kawasan yang terbabit mendapati tiada sebarang ancaman bahaya kepada orang awam dan kemusnahan harta benda yang berlaku.

“Tindakan selanjutnya diserahkan kepada pihak pengurusan untuk menutup sementara kawasan yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 1:22 AM