ANGGOTA PGA menahan ralyat Filipina yang menceroboh hutan simpan. FOTO Ihsan PGA.
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TINDAKAN dua lelaki Filipina menceroboh Hutan Simpan Terusan di Kinabatangan dan menebang serta mencuri kulit kayu tangar membawa padah apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, kedua-duanya berusia 34 dan 55 tahun itu diberkas bersama 200 kilogram kulit kayu tangar.

Pegawai Memerintah Batalion 15 Sandakan, PGA, Superintendan Toipi Lamat berkata, mereka ditahan ketika tujuh anggota PGA bersama 15 staf Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) melakukan rondaan di hutan itu.

“Ketika rondaan dibuat, terdapat satu kawasan didapati ada kesan tebang pada pokok tangar.

PENEMPATAN yang dibina suspek sejak enam hari lalu. FOTO Ihsan PGA.

“Hasil pemeriksaan, terdapat dua lelaki di kawasan itu bersama beberapa peralatan untuk menebang pokok dan kedua-duanya mengaku mereka dihantar menggunakan bot dari Pulau Kagayan, Filipina ke Kinabatangan untuk melakukan kerja itu,”

katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, mereka dibayar mengikut kilogram kulit kayu tangar yang diambil.

“Siasatan lanjut mendapati, mereka sudah berada di hutan simpan itu sejak enam hari lalu dan dihantar bekerja dengan bayaran RM1 bagi setiap satu kilogram kulit kayu tangar.

“Sehubungan itu, mereka ditahan untuk tindakan lanjut dan tapak khemah yang didirikan di kawasan itu turut dimusnahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 12:46 PM