ANGGOTA Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memeriksa sebahagian 15 jentera bernilai RM1.5 juta yang dirampas selepas menahan 11 lelaki berusia antara 33 hingga 66 tahun yang menjalankan aktiviti pembalakan secara haram di Kompakmen 56 Hutan Simpan Remen Chereh Tambahan di Sungai Lembing. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my


JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan mengenakan hukuman berat terhadap 11 individu termasuk melucutkan hak milik 18 jentera yang digunakan untuk menceroboh Kompakmen 56 Hutan Simpan Remen Chereh Tambahan di Sungai Lembing, dekat Kuantan.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, siasatan secara menyeluruh dan teliti kini sedang dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasa JPNP dibantu Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan/Maran/Pekan bagi menyediakan semua bukti lengkap bagi mengheret pihak terbabit ke mahkamah.

Menurutnya, jabatan kini sedang meneliti seksyen yang sesuai untuk mendakwa mereka yang terbabit dibawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 supaya menerima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Katanya, hanya hukuman berat sahaja dapat menjadi pengajaran pada 11 individu berumur antara 33 hingga 66 tahun itu yang begitu berani menjalankan aktiviti pembalakan secara haram dalam Hutan Simpan Remen Chereh, pertengahan bulan lalu.

“Dalam kes ini kita bernasib baik kerana berjaya mengesan lebih awal kegiatan dilakukan, sekiranya lewat saya yakin lebih banyak kemusnahan serta kerosakan kawasan hutan akan berlaku.

“Kerugian juga berlaku apabila hasil hutan terutama balak pelbagai jenis dikeluarkan tanpa dikenakan sebarang cukai,” katanya, di Kuantan, semalam.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan Kompakmen 56 Hutan Simpan Remen Chereh Tambahan yang diceroboh sejak awal bulan lalu.

Dalam kejadian berkenaan Bahagian Penguatkuasa JPNP berjaya menahan 11 individu yang bekerja sebagai penebang balak dan pemandu jentera, sebanyak 18 jentera bernilai lebih RM1.7 juta membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda, tiga lori digunakan untuk memindah kayu, lima jengkaut dan sepuluh jentolak turut disita.

Turut dirampas balak jenis kempas, meranti dan kelat yang sedia untuk dipindahkan bernilai lebih RM100,000.

Mohd Hizamri berkata, siasatan awal dilakukan dipercayai lebih ramai hingga 30 orang pekerja akan dibawa masuk ke kawasan hutan terbabit untuk melakukan pelbagai kerja di situ.

“Kita tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini kerana terdapat unsur jenayah hutan terancang yang menggunakan alasan untuk membantu pihak tertentu hasil jualan balak.

“Untuk mengatasi kes pencerobohan hutan, saya berharap orang awam yang mempunyai maklumat dapat menghubungi JPNP supaya pihak terbabit dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 12:15 PM