ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas suspek. FOTO Ihsan Polis.
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SERAMAI 31 individu termasuk pengedar dadah ditahan dalam 19 serbuan sempena Ops Sarang di sekitar Kota Kinabalu.

Operasi sepanjang minggu bermula 7 Disember itu turut merampas dadah jenis syabu seberat 8.77 gram.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu dilaksana di beberapa lokasi termasuk di Kampung Sembulan, Kampung Darau dan sekitar pekan Inanam.

“Hasil operasi, 31 suspek berusia antara 16 hingga 47 tahun ditahan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dan dadah dirampas bernilai RM438.50,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(A) akta sama.

Terdahulu, Habibi berkata, usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.

“Bagi mempertingkatkan lagi usaha ini, kerjasama daripada orang ramai juga diperlukan, terutama dalam menyalur maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 11:58 AM