TEKONG dan lapan PATI yang ditahan. FOTO Ihsan PGA.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara mematahkan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar di ladang getah di Chuping, Padang Besar, semalam.

Kejayaan itu hasil Op Wawasan Kedah/Perlis pada 3.40 pagi. Mereka yang ditahan, tekong warga tempatan berusia 50 tahun dan lapan PATI Myanmar termasuk empat wanita berusia antara 19 hingga 54 tahun.

Komander pasukan itu, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kesemua mereka ditahan ketika sedang berjalan di sempadan menghala ke Thailand yang dipimpin oleh tekong berkenaan.

“Sekumpulan anggota PGA yang melakukan rondaan rutin di situ terserempak mereka dan pemeriksaan mendapati lapan daripada sembilan orang tiada dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya semua PATI itu dalam perjalanan pulang ke negara asal selepas berada di negara ini untuk bekerja.

“Pihak kami juga merampas wang tunai berjumlah RM7,878, barangan kemas bernilai RM3,900, sejumlah wang tunai mata wang Myanmar dan Thailand dan telefon bimbit bernilai lebih RM16,000.

“Kesemua tahanan dan barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 26 ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6 (1) (c ) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 11:44 AM