Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI warga emas cedera di kepala selepas diserang oleh seorang individu dengan

menggunakan cangkul di Kampung Raja, di Jertih, semalam.

Kejadian 9.10 pagi ketika lelaki berusia 81 tahun sedang membersihkan halaman rumah menggunakan cangkul sebelum dihampiri seorang lelaki tidak dikenali.

Menurut sumber, suspek tidak semena-mena mengambil cangkul dipegang mangsa sebelum memukul kepala warga emas itu.

Katanya, suspek bagaimanapun melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anak lelaki mangsa sebelum mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut

“Akibat kejadian itu, mangsa menerima jahitan di kepala selain turut bengkak di jari kiri.

“Satu laporan polis turut dibuat menantu perempuan mangsa berusia 26 tahun di Balai Polis Kampung Raja berhubung kejadian itu,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, suspek dipercayai berada dalam pengaruh dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, suspek berusia 27 tahun kini direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 3:07 PM