KREN berantai jatuh menghempap sebuah rumah dan merentangi jalan raya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PEMAJU tapak pembinaan dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan kerja pembinaan menyebabkan sebuah kren di tapak pembinaan di Jalan 2/48A Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya, Husdin Che Amat berkata, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian masih dalam siasatan.

“Mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk menjalankan cara kerja dengan selamat.

“Siasatan awal mendapati pemaju menyewa kren berkenaan untuk melakukan kerja-kerja pembinaan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemaju boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan empat individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tiga bulan cedera selepas sebuah kren menghempap sebuah rumah pada 6.30 petang.

Kren dari tapak pembinaan di seberang jalan tumbang serta melintangi jalan menghempap sebuah rumah dan sebuah kereta.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Berita berkaitan

Empat termasuk bayi cedera kren tumbang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 2:42 PM