KEADAAN motosikal mangsa. FOTO Ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI warga emas parah di kepala selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kelulut, Kampung Kelulut, di Marang, bulan lalu, meninggal dunia, semalam.

Mangsa, Ramli Abdullah, 69, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 6.48 pagi, selepas 15 hari bertarung nyawa.

Dalam kejadian 2.15 petang pada 29 November lalu, mangsa yang menunggang motosikal dilanggar sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dipercayai ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Kampung Rhu Muda untuk pulang ke rumahnya di Pulau Kerengga, di Marang.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, mangsa dikatakan keluar secara tiba-tiba dari simpang Jalan Bukit Kecil menyeberang Jalan Kelulut 5 dipercayai untuk memasuki simpang Jalan Kelulut 2.

“Jarak dekat menyebabkan pemandu lelaki berusia 35 tahun itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa yang parah dikejarkan ke HSNZ, Kuala Terengganu untuk rawatan, manakala pemandu kereta hanya cedera ringan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zain turut mengingatkan orang ramai terutamanya nelayan supaya tidak turun ke laut sepanjang musim tengkujuh berikutan keadaan angin kencang dan laut bergelora.

“Cuaca tidak menentu sekarang dan keadaan angin kencang serta laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, bot kecil dan rekreasi termasuk menangkap ikan.

“Saya tidak mahu tragedi di Muara Kuala Dungun, Dungun pada 7 Disember lalu yang mengorbankan nyawa seorang nelayan selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ombak berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 2:40 PM