FOTO Hiasan
Melvin Joni
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut dipercayai tertembak diri, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di kampung di Simunjan pada Khamis lalu, 4.27 petang.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, mangsa berusia lingkungan 30-an tertembak diri menggunakan senapang patah di dalam biliknya.

Jelas beliau, menurut saksi iaitu kakak mangsa yang berusia 40-an, kejadian berlaku ketika dia sedang memasak apabila terdengar bunyi letupan.

“Selepas itu saksi keluar mencari dari mana arah letupan, lalu melihat adiknya terbaring di atas tilam dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan bahagian muka sebelah kiri hampir hancur dan mendapati senapang patah milik mangsa berada di atas pahanya.

“Tidak lama selepas itu mangsa meninggal dunia dan saksi mengesyaki adiknya tertembak diri sendiri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, hasil siasatan mendapati senapang patah adalah milik mangsa sendiri jenis SBBL 12 Bore dan mempunyai lesen yang sah.

Katanya, senapang mangsa kemudian dirampas bagi membantu siasatan.

Merbin menambah ketika kejadian, hanya mangsa dan kakaknya berada di rumah.

Katanya, menurut kakak mangsa lagi, adiknya tidak mengalami masalah kemurungan dan tidak juga mempunyai masalah dengan ahli keluarga yang lain.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes disiasat kerana mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 2:13 PM