PENGUNJUNG memberi makanan kepada kucing.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Dua lelaki ini pernah disaman pihak berkuasa kerana menempatkan kira-kira 1,000 kucing jalanan di sebuah rumah dalam kawasan perumahan yang dijadikan pusat menyelamat dan perlindungan haiwan comel itu.

Bagaimanapun, insiden itu tidak membuat mereka serik untuk membela nasib kucing jalanan dengan membuka taman kucing jalanan di Taman Ular Reptilia Perlis, Taman Batu Pahat, Kangar, Perlis bagi memberi peluang kehidupan kedua kepada haiwan berkenaan.

Sejak beroperasi tiga tahun lalu, pusat itu menempatkan 600 kucing dan kewujudan taman kucing berkenaan seperti Pulau Aoshima atau pulau kucing di Jepun.

Mohd Taufik Md Zin, 53, berkata, dia adalah dpengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bustana Kucing Perlis dan mengendalikan taman berkenaan.

Menurutnya, taman itu berkonsep terbuka yang mana sesiapa sahaja boleh menghantar kucing jalanan ke taman berkenaan bagi tujuan perlindungan yang lebih selamat.

“Kucing jalanan yang dihantar ke taman ini pada mulanya tidak sihat dan berpenyakit, saya dibantu sukarelawan, Khairul Nizam Nayan, 33, merawat haiwan ini termasuk mengembirikannya.

KUCING jalanan yang ditempatkan di Bustana Kucing mendapat penjagaan dan perlindungan yang terbaik.

“Malah saya dan Khairul Nizam turut melakukan sendiri proses mengembirikan kucing ini yang dipelajari daripada doktor veterinar serta rakan lain yang lebih berpengalaman,” katanya.

Katanya, mereka melakukan sendiri tugas berkenaan (mengembirikan) kerana mahu berjimat memandangkan kos bagi tujuan itu agak tinggi, lebih-lebih lagi dengan bilangan kucing yang banyak.

“Tambahan pula kos operasi taman ini merangkumi makanan dan perubatan mencecah RM12,000 sebulan menggunakan sumbangan Kelab Pencinta Kucing Perlis serta sumbangan orang ramai.

“Semua kucing ini ditempatkan di tiga tempat khas iaitu wad ibu dan anak, wad kucing sakit serta tempat kucing sihat,” katanya.

Jelasnya, pengunjung Taman Ular Reptilia Perlis juga berpeluang mengunjungi taman berkenaan untuk memberi makanan dan membelai kucing terbabit.

“Cara ini membolehkan pengunjung menyemai perasaan sayang dan kasihan terhadap kucing serta tidak bertindak kejam terhadapnya.

“Taman ini menjadi tarikan pelancongan yang baharu di Perlis dan bilangan pengunjung semakin bertambah setiap bulan,” katanya.

Namun, Mohd Taufik berkata, usaha murni itu tidak terlepas daripada ‘suara nakal’ masyarakat yang menuduhnya menjadikan kucing berpenyakit sebagai makanan buaya.

“Ini disebabkan taman kucing terletak berhadapan dengan taman reptilia terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:40 AM