MOHD Nor Ramzol memberi makan landak raya yang diternak di Kampung Batu 13 Tempoyang.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


LIPIS: Teknik menempatkan landak betina dan jantan matang yang dilahirkan kembar dalam satu kurungan dapat menghasilkan anak kembar secara berterusan sepanjang tahun.

Kaedah berkenaan digunakan Mohd Nor Ramzol Mohd Tafri, 56, yang sudah menceburi bidang ternakan binatang berkenaan menggunakan sistem kurungan simen di Kampung Batu 13 Tempoyang, dekat sini, sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, sejak kaedah kahwin sama kembar yang digunakan dua tahun lalu membolehkan projek ternakan landak raya yang diusahakanya terus bertambah dan berkembang.

Katanya, bermula dengan 12 ekor dibeli daripada rakan berharga RM9,000, dia kini mempunyai lebih 100 haiwan itu yang diberi makan dengan kelapa sawit dan jagung yang direndam air selama 15 hingga 30 minit.

“Landak raya betina matang dapat melahirkan anak dua hingga tiga kali setahun tanpa sebarang masalah, hanya ibu sahaja yang menjaga anak dalam masa tiga hingga empat bulan sebelum dipisahkan.

“Saya kini mempunyai 10 induk landak jantan dan betina matang kembar yang mampu melahirkan kembar sepanjang tahun,” katanya yang sebelum ini turut menternak rusa timur secara bebas.

Beliau berkata, haiwan eksotik berduri tajam itu tidak mudah dijangkiti penyakit termasuk luka kecil yang boleh mengundang kepada kematian serta tidak aktif.

Mohd Nor Ramzol atau lebih terkenal dengan panggilan Atan landak berkata, dia membelanjakan antara 30 hingga 35 sen sehari bagi seekor landak dewasa yang makan buah kelapa sawit dan jagung.

Dia yang pernah berkhidmat dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, setiap hari landak perlu dimandikan menggunakan semburan air paip selepas kerja membersihkan kurungan dilakukan.

Katanya, landak diberi makan dua hingga tiga kali sehari, makanan yang cukup membolehkan haiwan liar itu mencapai berat hingga 25 hingga 35 kilogram.

“Saya belajar menternak landak raya menerusi pengalaman sendiri secara berperingkat dan kaedah kahwin sesama kembar bagi mendapat anak adalah teknik terbaru yang diperoleh.

“Saya berhasrat memperbesarkan lagi projek ternakan landak raya secara berperingkat kerana permintaan terhadap haiwan eksotik begitu menggalakkan dengan harga tinggi.

“Sepasang haiwan berkenaan dijual antara RM3,000 hingga RM3,500,” katanya yang mendapat sokongan serta kemudahan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Katanya, menternak landak raya memerlukan lesen dikeluarkan Perhilitan dan pengusahanya perlu membayar RM200 setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:30 AM