KHALID (kiri) pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Cukai Petak Wilayah Persekutuan, semalam.
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari tahun depan, pelaksanaan cukai petak akan berkuat kuasa bagi menggantikan cukai tanah ke atas setiap hak milik strata di ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan mengambil pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan cukai petak itu dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

“Tujuan utama pelaksanaan cukai petak ini bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit membabitkan tunggakan bayaran cukai tanah ke atas pembangunan skim strata berdaftar.

“Berdasarkan rekod semasa di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, ada 446 skim pembangunan strata (iaitu hampir 15 peratus) daripada sejumlah 3,214 skim di Kuala Lumpur mempunyai tunggakan bayaran cukai tanah.

“Pelaksanaan cukai petak ini juga dilihat sebagai satu mekanisma pembetulan dan rasionalisasi kepada pengenaan cukai ke atas pembangunan strata yang lebih sistematik, telus dan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pelaksanaan cukai petak di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) di sini, semalam.

Khalid berkata, melalui peralihan cukai petak itu, transaksi pembayaran cukai adalah lebih telus kerana pemilik petak tidak perlu lagi membayar caruman cukai tanah kepada Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB), tetapi terus kepada PPTGWP.

Menurutnya, pelaksanaan cukai petak menetapkan formula pengiraan cukai berdasarkan jumlah keluasan petak termasuk petak aksesori dimiliki, kategori kegunaan petak sama ada kediaman, perniagaan atau industri dan jenis pegangan hakmilik sama ada pajakan atau selama-lamanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi pemilik petak kediaman strata dari Skim Kediaman Kos Rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) terutama golongan B40, akan menikmati kadar tetap.

Katanya, kadar tetap cukai petak itu tanpa mengira saiz keluasan iaitu RM15 setahun bagi pegangan hakmilik pajakan dan RM20 setahun bagi pegangan hakmilik selama-lamanya.

“Berdasarkan rekod, terdapat lebih 70 peratus kediaman jenis pangsapuri mampu milik yang mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 1,030 kaki persegi atau 96 meter persegi, rata-ratanya dimiliki golongan M40.

“Oleh itu, kadar cukai petak untuk kediaman strata jenis ini telah digubal bagi membolehkan pengenaan cukai petak pada kadar minimum iaitu RM20 setahun bagi pegangan hak milik pajakan dan RM25 setahun bagi pegangan hak milik selama-lamanya dapat dinikmati pemilik kediaman strata golongan M40 ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:00 AM