JABATAN Perhutanan Negeri Perak merampas khemah dan peralatan selepas menahan enam lelaki di Hutan Simpan Bukit Tapah kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memasuki HSK dari Pejabat Hutan Daerah Tapah. FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN PERAK
Shaarani Ismail
am@hmetro.com.my


JABATAN Perhutanan Perak menahan enam lelaki yang menceroboh Hutan Simpan Bukit Tapah, semalam, selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memasuki hutan simpan kekal (HSK) itu dari Pejabat Hutan Daerah Tapah.

Tangkapan dibuat hasil aduan diterima Pejabat Hutan Daerah Tapah sebelum risikan dan serbuan berjaya menahan semua lelaki terbabit selain merampas pelbagai peralatan termasuk gergaji berantai, parang dan khemah.

Jabatan Perhutanan Perak dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan aktiviti pencerobohan bagi mengeluarkan hasil hutan itu dikesan di kompartmen 157, HSK Bukit Tapah.

“Hasil aduan yang diterima, satu pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) Tapah menjalankan kerja semakan dan risikan di lokasi aduan untuk mendapatkan maklumat lebih jelas dan terperinci sebelum berjaya menahan enam suspek lelaki.

“Pasukan juga menemui khemah disyaki digunakan untuk bermalam di dalam hutan dan kumpulan terbabit mendakwa memasuki hutan sejak Isnin lalu untuk mencari dan mengeluarkan buluh betong,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kumpulan lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memasuki HSK iaitu permit memasuki HSK dari Pejabat Daerah Hutan Tapah selain gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran atau lesen kecil bagi kerja mengeluarkan hasil hutan.

“Bagaimanapun, pasukan serbuan tidak menemui sebarang hasil hutan iaitu buluh di sekitar kawasan khemah dan bertindak menyita satu gergaji berantai, parang, dua khemah dan kanvas disyaki digunakan suspek.

“Satu laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Tapah sebelum semua suspek dilepaskan dengan bon jaminan polis,” katanya.

Katanya, suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu memasuki hutan tanpa permit sah yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

“Jabatan Perhutanan Negeri Perak mengalu-alukan sebarang maklumat awam berhubung kegiatan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran dan juga aktiviti penerokaan HSK secara haram di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 6:43 PM