Carolind bersama bayinya berada di PPS Dewan Masyarakat Stapok, Kuching hari ini selepas kediamannya dinaiki air malam tadi. - Foto Bernama
BERNAMA

HANYA nasib bayi baru berusia 15 hari saja yang difikirkan seorang wanita ketika diminta untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Stapok, Kuching selepas rumah mereka dinaiki air pada 10 malam tadi.

Carolind Kongkit, 32, tidak pernah berdepan situasi seumpama itu berkata, walaupun dirinya masih lemah tetapi dia menggagahkan diri dan hanya memikirkan keselamatan bayi perempuannya, Finna Yohanna.

Menceritakan pengalamannya, wanita itu berkata, dia terpaksa mendukung bayinya yang masih kecil itu dalam keadaan hujan dan menaiki bot agensi keselamatan untuk ke PPS.

“Pada mulanya saya agak panik dan berdebar, tambahan pula masih dalam keadaan berpantang selepas bersalin, namun saya gagahkan juga demi memikirkan keselamatan Finna Yohanna,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS terbabit hari ini.

Carolind turut memuji agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) atas bantuan yang cepat, cekap dan efisien dalam menguruskan mangsa bencana banjir itu.

“Bantuan cepat tiba dan semasa berada di PPS ini, bantuan seperti lampin pakai buang, susu untuk bayi serta makanan dan kemudahan asas yang lain semuanya mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Kuching Fazila Sulaili berkata, sejak pusat itu dibuka semalam, pihaknya bertungkus-lumus menyalurkan segala bantuan yang diperlukan kepada mangsa yang terbabit.

“Kita menyediakan tempat tidur, memberikan sokongan moral serta makanan asas yang disediakan secara bergotong-royong bersama mangsa dan agensi yang terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, menurut jurucakap Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Ismail Mahedin berkata, setakat 12 tengah hari ini terdapat 46 mangsa daripada sembilan keluarga masih berada di PPS berkenaan dan tidak dibenarkan pulang kerana air di kawasan kediaman mereka belum surut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 6:16 PM