Kisah buaian berayun sendiri di taman permainan sebuah pangsapuri mendapat perhatian warganet. FOTO Rosela Ismail
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA tak pernah lihat buai itu berayun sendiri dan hanya tahu mengenai kisah itu selepas melihat perkongsian video di laman sosial baru-baru ini,” kata Manisha Zaki, 20, penduduk sebuah pangsapuri di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

Manisha berkata demikian ketika ditanya mengenai kebenaran dakwaan kisah mistik buaian di taman permainan kawasan perumahannya.

Kisah itu mendapat perhatian warganet sejak tular di laman sosial selepas salah seorang penduduk Muhammad Nazreen Fahmi Abd Jalil, 16, berkongsi video buaian berayun sendiri di Twitter miliknya 4 Disember lalu.

Manisha yang tinggal bersama keluarganya berkata, dia sering melihat kanak-kanak bermain buai di taman permainan itu pada petang dan malam namun belum pernah melihat kejadian menyeramkan.

“Selalu juga melihat kanak-kanak bermain di situ tetapi saya tak pernah mendengar kisah seram berlaku di situ sehingga menonton video di laman sosial.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu ia berlaku di sini dan hanya menyedarinya selepas beberapa hari kisah itu tular.

“Saya tidak terlalu memikirkannya memandangkan sudah lama menetap di sini dan tak pernah berdepan insiden aneh,” katanya ketika ditemui.

Kanak-kanak bermain buaian yang menjadi perhatian warganet. FOTO Rosela Ismail

Sementara itu, pengawal keselamatan yang hanya ingin dikenali sebagai Man berkata, dia tidak tahu menahu mengenai kisah berkenaan dan belum pernah berdepan dengan kejadian mistik sejak dua tahun berkhidmat di situ.

“Saya bekerja mengikut syif, ada kalanya siang dan kadangkala malam tetapi tak pernah melihat buaian itu berayun sendiri.

“Kebiasaannya, kanak-kanak yang bermain di situ. Itu pun pada petang jadi saya tak pasti kebenaran kisah berkenaan,” katanya.

Sementara itu penduduk berhampiran, Ramli Ogoh, 35, berkata, dia tidak pernah melihat kejadian seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

“Sudah 30 tahun saya menetap di sini dan tidak pernah melihat kelibat atau sebarang penampakan walaupun rumah saya terletak betul-betul di hadapan taman permainan itu.

“Apa yang saya dengar hanyalah insiden kanak-kanak terjatuh dari tingkat atas pangsapuri itu.

“Selebihnya, saya tak pasti dan kena tanya sendiri dengan penduduk di situ untuk mendapatkan kepastian,” katanya.

Jumaat lalu, portal berita Harian Metro melaporkan Muhammad Nazreen menyaksikan buaian itu bergerak sendiri ketika berdiri di beranda rumahnya.

Muhammad Nazreen sempat merakam aksi itu menggunakan telefon bimbitnya sebelum memuat naik video di Twitter.

Berita berkaitan

'Dua beranak' main buaian... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 9:39 PM