KEKECOHAN di pintu masuk Kongres Nasional AMK. FOTO Arkib NSTP.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


SIASATAN polis akan menjadi rujukan utama bagi sebarang bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melanggar disiplin.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kasim berkata demikian merujuk insiden rusuhan ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Melaka, minggu lalu.

Menurutnya juga, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terbabit terutama yang membabitkan ancaman fizikal.

“Kia akan menggunakan siasatan polis sebagai salah satu rujukan yang utama dalam membuat keputusan berkenaan.

“Saranan pucuk pimpinan parti juga akan diambil kira,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad meminta semua anggota yang mempunyai maklumat dan bukti mengenai salah laku disiplin ahli parti supaya segera membuat aduan rasmi.

Katanya, ia bagi membolehkan siasatan dimulakan serta menimbang syor, tindakan atau hukuman yang wajar dikenakan.

Sehingga kini, polis sudah merekodkan keterangan enam individu dan 15 saksi dipanggil untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim dilapor meminta lapan lelaki menyerah bagi membantu siasatan rusuhan berkenaan dan mereka adalah ahli AMK yang memakai baju biru dan hitam.

Berita berkaitan

Akmal Nasrullah mungkin dipanggil polis [METROTV]

Polis cari 8 lelaki kes gaduh

Pecat siapa buat kecoh - Anwar

Kecoh lagi...

Boleh pecat jika sabotaj

Baju Melayu punya pasal [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:21 AM